‘Kaki pancing’ lega sudah boleh memancing

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

MELAKA 5 Feb. – Kaki pancing seluruh negara kini dapat menarik nafas lega apabila aktiviti memancing kini dibenarkan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula hari ini.

Perkara itu disahkan Jabatan Perikanan Malaysia dalam satu kenyataan yang memaklumkan aktiviti memancing bagi tujuan sara hidup kini dibenarkan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) am PKP Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Menurut Pengarah Perikanan Melaka Mohd Fauzi Salehon, aktiviti memancing dibenarkan namun tidak boleh dilakukan dalam kumpulan ramai dan perlu mematuhi SOP berkaitan PKP 2.0 yang ditetapkan.

“Kaki pancing boleh memancing tidak kiralah di tepi pantai, muara, sungai mahupun parit, namun lokasi itu mestilah dalam lingkungan radius 10 kilometer dari kediaman,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Seorang pemancing dari Bukit Rambai, Muhammad Faris Irfan, 24, nyata gembira dengan keputusan tersebut memandangkan sudah hampir sebulan tidak dapat melakukan aktiviti riadah itu.

FARIS Irfan

“Sebelum ini memang kami kecewa kerana kerajaan memberi kelonggaran kepada aktiviti berbasikal dan berjoging tetapi melarang aktiviti memancing yang juga antara aktiviti riadah sihat dan tidak melibatkan kumpulan besar.

“Tetapi sekarang memang legalah apabila dapat memancing untuk mencari lauk memandangkan harga ikan kini semakin mahal menjelang perayaan Tahun Baru Cina,” katanya.

Turut senada seorang lagi kaki pancing, Ambran Mohamed, 36 yang menunjukkan keterujaan untuk keluar memancing pada cuti hujung minggu.

“Kini saya sudah boleh lap kembali joran yang sudah bersawang di rumah dan tidak sabar rasanya untuk keluar memancing. Bagi saya berita ini memang memberi kelegaan kepada semua kaki pancing bukan sahaja di Melaka, bahkan seluruh Malaysia.

“Apapun, terima kasih kerajaan kerana mendengar keluhan kaki pancing sepanjang PKP 2.0 ini dan akhirnya memberi kebenaran kepada kami,” katanya.

Sementara itu, keputusan membenarkan aktiviti memancing itu turut disambut gembira peniaga umpan memancing di negeri ini.

Fatimah Hassan, 53 yang menjual umpun-umpun dan udang hidup di sekitar Pantai Puteri menyifatkan kebenaran itu memberi nyawa kedua buat peniaga yang sebelum ini terjejas pendapatan susulan pelaksanaan PKP 2.0.

“Hampir sebulan kami tidak boleh berniaga kerana aktiviti memancing tidak dibenarkan. Apabila mendengar pengumuman memang kami legalah.

“Diharap pandemik COVID-19 ini akan segera berakhir agar semua orang boleh kembali meneruskan hidup seperti biasa,” katanya.

– AKTIVITI memancing bagi tujuan sara diri kini dibenarkan dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan MKN.

– FARIS Irfan

Views:

1977
Kongsi :
Previous post Pesara guru ditemui mati di muara Sungai Melaka
Next post PDRM buka dua kertas siasatan, akan panggil Tommy mengenai bukunya
Ubah saiz-+=