Pesara guru ditemui mati di muara Sungai Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KOTA LAKSAMANA 5 Feb – Seorang pesara guru berusia 82 tahun ditemui mati terapung di muara Sungai Melaka, berhampiran Jambatan Jalan Syed Abdullah Aziz, di sini petang semalam.

Mangsa, Tay Kau @ Tay Kiam Tian beralamat di Taman Kasturi, Semabok ditemui lengkap berpakaian kemeja-T berwarna putih dan seluar hitam oleh orang awam kira-kira jam 2.45 petang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan penemuan mayat lelaki dalam keadaan terapung berhampiran sebuah restoran di Jalan PM10, Plaza Mahkota di sini.

TAY Kau @ Tay Kiam Tian ditemui mati di Muara Sungai Melaka. Foto ihsan PDRM

Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mayat ditemui dalam keadaan terlangkup di muara sungai berkenaan berhampiran sebuah bot transit.

“Hasil pemeriksaan awal pada tubuh mangsa mendapati tiada kecederaan mahupun sebarang unsur jenayah ke atas mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan lanjut mendapati mangsa merupakan pesara guru yang pernah berkhidmat di sebuah sekolah di Kesidang sebelum bersara pada tahun 1988 dan tinggal bersama isteri dan dua anaknya.

“Berdasarkan keterangan anak lelaki mangsa, bapanya menghidap penyakit kanser salur darah di bahagian leher.

“Penyakit itu mula dikesan sejak dua bulan lalu dan mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka setiap bulan,” katanya.

Afzanizar berkata, siasatan turut mendapati mangsa tidak pulang sejak keluar rumah dari awal pagi sebelum anak lelaki mangsa berusaha mencarinya di kawasan sekitar.

Menurutnya, ketika usaha mencari bapanya, anak mangsa terlihat orang ramai berkumpul di kawasan kejadian sebelum membuat pengecaman berdasarkan pakaian dipakai mangsa sebelum keluar rumah.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat selepas keputusan saringan COVID-19 diperolehi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Views:

345
Kongsi :
Previous post Muhyiddin mahu hubungan Kuala Lumpur- Jakarta ke peringkat strategik
Next post ‘Kaki pancing’ lega sudah boleh memancing
Ubah saiz-+=