Kaki wayang tak sabar mahu tonton filem baharu

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 9 Sept – Biarpun sudah dimaklumkan operasi pawagam masih belum dapat dibuka, ada antara ‘kaki wayang’ yang terlepas pandang dan terpaksa pulang hampa.

Menerusi tinjauan Melaka Hari Ini di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) di pusat beli-belah AEON Bandaraya Melaka dekat sini, kelihatan ada beberapa pengunjung hadir di situ.

Peniaga popiah sejuk beku, Nurul Farhanah Abd Aziz, 25, berkata, dia mengambil cuti hari ini semata-mata untuk melepaskan gian menonton wayang selepas pengumuman aktiviti panggung wayang dibenarkan.

NURUL FARHANAH.

“Lepas pengumuman dibuat, saya dan kawan-kawan sangat teruja dan gembira…terus rancang nak keluar untuk tengok wayang. Kami memang tak perasan ada notis di Facebook GSC.

“Sampai saja di GSC, kami nampak pintu ‘shutter’ tertutup dan mula berasa pelik kerana suasana sunyi dan tidak ramai orang beratur seperti lazimnya, walhal perdana menteri umum panggung wayang dah boleh buka bagi mereka yang lengkap dua dos vaksin,” katanya ketika ditemui.

Menurut Nurul Farhanah, dalam keadaan keliru dan hampa mereka terus bertanya kepada pekerja GSC yang menerangkan operasi panggung wayang itu belum dibuka atas faktor keselamatan.

“Kami dimaklumkan pihak GSC sedang menunggu SOP terperinci daripada kerajaan sebelum memulakan operasi,” katanya yang hadir bersama lima rakan.

NUR Fatin Ilya Shahira.

Pembantu jualan, Nur Fatin Ilya Shahira Ghazali, 23, pula berkata dia dan pasangan berniat untuk ‘cuci mata’ dan menonton wayang selepas lengkap dua dos vaksinasi.

“Kebetulan hari ini genap 14 hari lengkap divaksin, jadi saya ajak teman lelaki untuk berjalan dan tengok wayang sebab tengok pengumuman perdana menteri. Saya memang teruja habis.

“Kami naik ke atas untuk membeli tiket namun saya terkejut lihat keadaan GSC sunyi dan lenggang dengan pintu tertutup, jadi kami ambil keputusan untuk berpatah balik sahaja,” ujarnya dengan nada hampa.

Sementara itu, pekerja swasta Halim Minhad, 30, berkata dia berasa kesal tidak memeriksa laman web dan media sosial GSC terlebih dahulu sebelum berjanji bersama rakan-rakannya semalam.

HALIM.

“Perasaan memang hampa dan sedih, kami memang dah rancang nak tengok filem aksi Shang-Chi (The Legend Of Ten Rings) sebab tengok ulasan dari orang ramai semua menarik-menarik dan ‘syok’.

“Memang belum ada rezeki kami untuk lepak dan tonton wayang bersama, pengajaran buat kami juga untuk sentiasa periksa sebarang pengumuman yang dibuat oleh pihak GSC,” katanya.

Dia turut berharap pihak GSC dan kerajaan dapat mengusulkan satu SOP yang bersesuaian untuk aktiviti panggung wayang dibuka segera.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1176
Kongsi :
Previous post Polis wanita patah jari manis dilanggar remaja lari SJR
Next post 95 peratus penggiat pelancongan Melaka telah divaksin
Ubah saiz-+=