95 peratus penggiat pelancongan Melaka telah divaksin

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 9 Sept – Melaka sedia untuk membuka kembali pintu pelancongan selepas lebih 95 peratus penggiat industri itu telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat ini.

Exco Pelancongan Negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, jumlah itu merangkumi 42,587 daripada keseluruhan 44,829 pemain industri pelancongan di negeri ini dan hanya berbaki kira-kira lima peratus sahaja yang belum menerima janji temu vaksin.

Bagaimanapun, pihaknya menzahirkan keyakinan jumlah 100 peratus dapat dicapai sebelum Melaka beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijangka selewat-lewatnya Oktober depan.

MUHAMMAD Jailani menyerahkan sijil lengkap vaksinasi kepada Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini Sdn Bhd, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

“Sekarang kita sedang merangka persiapan ke arah Fasa 3 PPN yang mana fokus utamanya ialah kepada pelancongan domestik terlebih dahulu.

“Selepas ini, ini kita akan menghidupkan semula pakej-pakej pelancongan yang ada dan mungkin sesetengah daripadanya kita akan jenamakan semula.

“Jadi, hari ini kita telah beri sijil pengesahan vaksinasi yang mana kita nak pastikan semua penggiat industri pelancongan terutamanya pekerja-pekerja hotel, kedai makan, pusat pelancongan telah lengkap divaksinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Dos Suntikan Vaksin Lengkap kepada Penggiat Industri Pelancongan Melaka di pekarangan pejabatnya di Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Melaka, Yeow Chin Chai, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron dan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini Sdn Bhd, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

MUHAMMAD Jailani bersama penggiat industri pelancongan bergambar bersama kain rentang lengkap divaksin yang akan dipasang di premis-premis pelancongan seluruh negeri ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, pihaknya juga akan mewajibkan kesemua tempat tumpuan pelancong di negeri ini untuk menggantungkan kain rentang dan sijil lengkap vaksinasi di premis masing-masing.

Tegasnya, mana-mana premis yang enggan berbuat demikian tidak akan dibenarkan beroperasi.

“Sijil-sijil ini kita akan berikan secara berperingkat dengan fokus utama ialah kepada hotel dan restoran berhampiran hotel.

“Selain itu, kita juga akan pastikan 15 destinasi yang akan dibuka terlebih dahulu seperti Menara Taming Sari, Sungai Melaka, Zoo Melaka, muzium-muzium, pantai peranginan dan lain-lain, pekerjanya mesti lengkap vaksinasi sebelum pembukaan.

“Setiap pekerja itu juga akan dipakaikan ‘button badge’ tertulis ‘I’m Vaccinated’ bagi memberi keyakinan kepada pelancong yang hadir ke negeri ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

502
Kongsi :
Previous post Kaki wayang tak sabar mahu tonton filem baharu
Next post KKM kaji penggunaan ubat-ubatan lain rawat pesakit COVID-19 – DR Hishamshah
Ubah saiz-+=