‘Kami memang dah bersedia’ – pemain industri pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 1 Okt. – Penggiat industri pelancongan di Melaka sudah bersiap sedia menerima pengunjung dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi.

Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Madelina Kuah berkata, pihaknya yakin dengan usaha itu berikutan majoriti kakitangan dalam sektor tersebut sudahpun lengkap divaksin.

“Kebanyakan kita dah bersedia, cuma kita tunggu kerajaan negeri umum sebab kita belum capai 90 peratus lengkap vaksin di Melaka.

“Jadi ada perkara yang selamat dan tidak selamat, tapi kebanyakan pemain industri pekerja mereka dah lengkap vaksin.

“Kalau belum lengkap mereka tak boleh buka premis, pengunjung yang datang pun kena lengkap dua dos vaksin juga,” katanya ketika dihubungi MHI.

MADELINA.

Jelasnya, bagaimanapun kerajaan negeri perlu mengambil perhatian sekiranya terdapat kes COVID-19 yang berlaku setelah sektor pelancongan kembali operasi.

“Kita nak minta kerajaan negeri ambil perhatian bila banyak tempat dah dibuka ada kes COVID-19 macam mana kita tangani.

“Bila premis itu ada pengunjung yang kena COVID-19 macam mana kita nak kesan
keluarga tu dan nak selesaikan masalah dengan segera.

“Dari segi Prosedur Operasi Standard (SOP) memang kita ikut 50 peratus pada satu-satu masa seperti saranan kerajaan negeri, kita kena kawal ada pintu keluar dan masuk,” katanya lagi.

Penolong Pengurus Besar Ames Hotel, Nurashiken Zainal Abidin berkata sehingga kini pihaknya telahpun menerima tempahan ramai pihak.

“Kita dah buka sepenuhnya, bilik dan outlet semua operasi seperti biasa. Tempahan pengunjung yang luar negeri kita perlu tunggu tapi pengunjung tempatan (Melaka) memang dah ada.

“Tempahan banyak dari ‘business travellers’ (pelancong perniagaan), orang Melaka dah ada bawa anak-anak untuk santai di hotel ini,” katanya lagi.

Katanya, dari segi SOP sudah pasti pengunjung perlu menunjukkan aplikasi MySejahtera yang mengesahkan mereka lengkap vaksin.

“Kita memang semak tunjuk MySejahtera dan orang Melaka saja boleh menginap di hotel, kalau dari luar negeri kena tunjuk surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai bukti mereka bekerja di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

494
Kongsi :
Previous post Penafian berita tular 1 Oktober
Next post Piala Malaysia: Pasukan sedia terima penonton kembali kes stadium
Ubah saiz-+=