Kampung Seri Tanjung kampung contoh Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 23 Ogos – Inisiatif melaksanakan pelbagai program bermanfaat melayakkan Kampung Seri Tanjung, Alor Gajah diangkat sebagai Kampung Contoh Negeri Melaka.

Ia selepas kampung berkenaan dinobat johan pada Pertandingan Kampung Contoh Negeri Melaka 2023 bersempena Mini Karnival Program Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Luar Bandar Tahun 2023 di Mini Stadium Bistari, di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seri Tanjung Mohd Yusof Saleh berkata, kejayaan itu merupakan hasil kerjasama penduduk kampung bersama generasi muda yang menghidupkan suasana bermasyarakat dalam komuniti di kawasan itu.

“Penduduk kampung bersama orang muda sentiasa aktif dan bekerjasama dalam memastikan setiap projek, koperasi, bengkel makanan, ternakan dan pelbagai industri yang dibuat berjalan dengan baik.

“Atas bimbingan bersama generasi muda ini, maka pengadil mengambil satu pengiktirafan menjadikan kampung kami sebagai kampung contoh di Melaka.

“Persiapan ini bukan hanya ketika waktu pertandingan, bahkan kampung ini banyak kali dilawati pelbagai agensi, jadi tiga tahun sebelum lagi kita sudah buat persediaan awal,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program berkenaan.

Mohd Yusof mewakili penduduk Kampung Seri Tanjung menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penduduk Kampung Seri Tanjung membabitkan 180 buah rumah sentiasa aktif dan memberi kerjasama dalam setiap program dan projek yang dirangka.

Jelasnya, antara fokus kampung berkenaan ialah terhadap bidang pelancongan dan perniagaan.

“Kita memang sudah bersedia, lebih-lebih lagi kampung kita ini terkenal dengan pelancongan desa iaitu Homestay Seri Tanjung yang ada.

“Kita juga mempunyai bangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sendiri yang mempunyai hasil untuk penduduk kampung.

“Apabila dapat hasil kita akan berikan sedikt sumbangan kepada setiap keluarga sebanyak RM100 hingga RM200 setiap tahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8659
Kongsi :
Previous post Pecah tanah pasar tani kekal Sungai Rambai bulan depan
Next post Tiada lesen: KPDN rampas lebih 5,000 kg gula, 300 kg minyak masak
Ubah saiz-+=