Tiada lesen: KPDN rampas lebih 5,000 kg gula, 300 kg minyak masak

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

IPOH, 23 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas lebih 5,000 kilogram (kg) gula dan 300 kg minyak masak bernilai lebih RM18,000 di sebuah premis perniagaan yang menjual barang kawalan itu tanpa lesen di Taman Kurau Mutiara dekat Batu Kurau semalam.

Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata pasukan daripada KPDN Cawangan Taiping menyerbu premis itu pada 10 pagi dan mendapati peniaga gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia berkaitan urus niaga barang kawalan.

“Hasil serbuan mendapati peniaga tersebut sedang menjalankan urus niaga barang kawalan iaitu gula dan minyak masak.

“Sehubungan itu, sejumlah 5,414 kg gula serta 343 kg minyak masak polibeg 1 kg, minyak masak sawit tulen bagi 2 dan 5 kg telah disita di premis terbabit yang dianggarkan bernilai RM 18,618,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi perseorangan, manakala bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua boleh didenda tidak melebihi RM5 juta.

Beliau berkata pihaknya memandang serius dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menjalankan urus niaga atau apa-apa aktiviti berkaitan barang kawalan tanpa terlebih dahulu mempunyai lesen atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1254
Kongsi :
Previous post Kampung Seri Tanjung kampung contoh Melaka
Next post Sasaran penyertaan Sekolah Rukun Negara ditingkat kepada 100,000 belia
Ubah saiz-+=