Kanak-kanak hidap leukemia teruja dapat naik kereta polis

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KEPALA BATAS 25 Mac. – Terukir momen berharga buat seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang menghidap penyakit leukemia tahap empat, sebaik turun dari kereta peronda polis di perkarangan Dewan Bunga Raya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), di sini hari ini.

Keterujaan jelas terpancar di wajah Muhammad Firash Arryan Muhammad Yusri apabila dibawa bersiar-siar di sekitar Kepala Batas dengan menaiki kereta peronda polis, yang menjadi impiannya sejak dua tahun lalu.

“Seronok (dapat naik kereta polis)…besar nanti nak jadi polis boleh tangkap orang jahat,” kata Muhammad Firash Arryan yang kelihatan tersipu-sipu sebaik wartawan mengajukan soalan kepadanya.

PRIHATIN…Noorzainy berbual dengan Muhammad Firash Arryan di pekarangan IPD SPU. Foto kredit Facebokk IPD SPU

Ibunya, Aida Royani Abdul Razak, 30, berkata sejak semalam anak sulung daripada dua beradik yang mesra dipanggil Firash itu memberitahu tidak sabar menunggu detik hari ini.

“Firash menyuarakan hasrat untuk menaiki kereta peronda polis sejak mula menghidap penyakit leukemia pada dua tahun lalu, malah bagi pihak keluarga, kami berasa amat terharu dan berterima kasih dengan pasukan polis SPU yang sanggup merealisasikan impian anak kami,” katanya yang turut ditemani suami, Muhammad Yusri Dani, 31.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sempena Sambutan Hari Polis ke-214 hari ini, pihaknya mengambil inisiatif untuk merealisasikan impian Muhammad Firash Arryan, selain turut menghadiahkannya sebuah kereta polis mainan dan hamper buah-buahan.

“Dalam usaha kita menjalankan tanggungjawab mencegah jenayah, pihak polis juga tidak lupa akan insan-insan seperti Firash yang mempunyai hasrat tertentu dalam hidupnya. Jadi, kita cuba realisasikan,” katanya.

Difahamkan, keadaan Muhammad Firash Arryan kembali merosot pada Mac 2021 kerana sel kanser telah merebak ke dalam tulang dan otak selain turut menyebabkan hati dan limpanya membengkak sehingga kanak-kanak itu tidak mampu berjalan dengan sempurna.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1293
Kongsi :
Previous post Wanita hadapi masalah rumah tangga cuba terjun pangsapuri
Next post Peristiwa hitam ketika Op Daulat tidak patah semangat Hasnal terus berbakti
Ubah saiz-+=