Wanita hadapi masalah rumah tangga cuba terjun pangsapuri

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

DUYONG 25 Mac – Penduduk sebuah pangsapuri di Taman Pertam Jaya gempar apabila seorang wanita cuba membunuh diri dengan memanjat balkoni sebuah unit di tingkat enam dipercayai mengalami masalah rumah tangga.

Dalam kejadian pada jam 1.10 petang, mangsa berusia 29 tahun itu disedari berada di luar balkoni kediamannya oleh orang awam.

Pegawai Operasi Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba Baharum Muhamad Hasim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.14 petang sebelum anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba anggota bomba mendapati mangsa berada luar balkoni kediaman rumahnya di tingkat enam sebuah blok pangsapuri berkenaan.

“Anggota polis dan anggota bomba terpaksa menggunakan balkoni jiran rumah mangsa di bahagian atas untuk memujuk mangsa selama kira-kira satu jam berikutan pintu rumahnya berkunci.

“Dalam pada sama, anggota bomba meminta kebenaran polis untuk memecah pintu rumah mangsa untuk memasuki rumah berkenaan.

“Anggota bomba dan orang ramai turut membantu dengan merentang kain kanvas di tingkat bawah bangunan terbabit sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata wanita berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan pada jam 2.14 petang.

“Operasi menyelamat tamat kira-kira setengah jam kemudian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

999
Kongsi :
Previous post Ka Siong hadir majlis pengebumian bapa angkat di Asahan
Next post Kanak-kanak hidap leukemia teruja dapat naik kereta polis
Ubah saiz-+=