Kantoi selepas 20 tahun guna Mykad orang lain

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 5 April – Penjual cendol berasal dari Theriruveli, Chennai, India dijatuhi hukuman penjara 11 bulan atas kesalahan memiliki dan menggunakan kad pengenalan milik individu lain di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Jahabudin  Ahamed Hajmalgan, 42, mengaku bersalah selepas pertuduhan keatasnya dibacakan dalam Bahasan Tamil di hadapan Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan Jahabudin didapati memiliki kad pengenalan atas nama seorang lelaki berusia 43 tahun yang beralamat di Jalan Tamby Chik Karim, Batu Berendam.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka pada jam 12.15 tengah hari 31 Mac lalu selepas semakan mendapati kedua-dua cap jari tertuduh tidak sepadan.

Semakan perbandingan gambar pada kad pengenalan pula mendapati tiada rekod dijejaki menerusi Sistem AFIS (Sistem Pengenalan Cap Jari Automatik) malah nombor kad pengenalan yang tertera juga milik seorang lelaki lain.

Mengikut pertuduhan tertuduh yang juga bapa kepada dua anak hadir ke pejabat JPN bagi urusan penukaran kad pengenalan, dia kemudian ditahan dan dirujuk ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN kerana memiliki MyKad orang lain.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu tertuduh yang kini menetap di Klang, Selangor merayu agar hukuman terhadapnya diringankan kerana sudah insaf selain sedang berpuasa dan mahu menyambut lebaran akan datang.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JPN, Ahmad Amirul Ahmad Jamal mencadangkan hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh kerana kesalahan itu sudah melebihi 20 tahun.

Malah katanya, pada tahun 2000 maklumat kad pengenalan itu telah digunakan untuk penukaran agama daripada Hindu kepada Islam di Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Tertuduh juga menerima bantuan Aidilfitri sebanyak RM450 daripada MAIM dengan menggunakan maklumat kad pengenalan itu dan membuka dua akaun simpanan di Bank Simpanan Nasional serta Bank Islam.

“Saya mohon tertuduh dikenakan hukuman yang berat dan setimpal atas jenayah yang dilakukan kerana ia mengancam keselamatan negara,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2243
Kongsi :
Previous post Ajal ketika lintas jalan untuk beli buah
Next post Bubur lambuk istimewa Surau Ubudiah
Ubah saiz-+=