Bubur lambuk istimewa Surau Ubudiah

Masa Membaca:59 Saat

BUKIT KATIL 5 April – Sebanyak 120 bungkus bubur lambuk berserta 100 bungkus air mata kucing diagihkan oleh Surau Ubudiah kepada komuniti di Kampung Baru, di sini, baru-baru ini.

Pengerusi Surau Ubudiah, Nor Jamal Nemat, 69, berkata, program agihan bubur lambuk menjadi acara tahunan surau berkenaan ketika Ramadan dalam berkongsi rezeki bersama masyarakat khususnya penduduk setempat.

Menurutnya, bubur lambuk surau itu disifatkan cukup istimewa berbanding tempat lain memandangkan ia dimasak dengan pelbagai bahan termasuk sayur campur, daging, udang kering, kekacang dan santan.

“Ini menjadikan bubur ini lebih pekat dan lazat dimakan berbanding jika dimasak cair yang mana kami menggunakan 10 kilogram beras untuk memasak bubur lambuk ini.

“Alhamdulillah proses menyediakan bahan dan memasak satu periuk bubur lambuk ini cukup mudah kerana ia dilakukan secara gotong-royong kalangan ahli jawatankuasa surau bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya.

Terdahulu, program pengagihan bubur lambuk itu disempurnakan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali yang juga Pengurus Besar Yayasan Melaka.

Beliau berkata, program kedua memasak bubur lambuk akan diadakan pada 8 April ini bagi membolehkan lebih ramai penduduk merasai keenakan bubur lambuk Surau Ubudiah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1113
Kongsi :
Previous post Kantoi selepas 20 tahun guna Mykad orang lain
Next post Guna lori tangki berdaftar seleweng diesel bersubsidi
Ubah saiz-+=