Kapal berhias warnai perarakan Maulidur Rasul Kampung Alai

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TELOK MAS 9 Oktober – Lebih 1,000 penduduk di bawah kariah Masjid Al Falihin Kampung Alai, di sini, menyertai perarakan Maulidur Rasul, malam tadi.

Perarakan itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Menariknya, sambutan yang diadakan pada sebelah malam itu turut dimeriahkan dengan perarakan kapal berhias, selain sepanduk berwarna-warni hasil kreativiti 14 kontinjen terlibat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Maulidur Rasul Masjid Al Falihin Kampung Alai Datuk Akramuddin Ab Aziz, sambutan itu merupakan yang pertama diadakan selepas lima tahun sebagai menunjukkan kecintaan kepada rasul dalam kalangan penduduk kampung.

IMG_20221009_130505_127
ADUN Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman turut menyertai perarakan Maulidur Rasul Masjid Al Falihin Kampung Alai, malam tadi.

Menurutnya, kelainan yang ditampilkan pada tahun ini ialah peserta perarakan tidak melalui jalan-jalan utama, sebaliknya berarak melalui jalan kampung sejauh dua kilometer.

“Ini adalah sebahagian cara untuk kita mendekatkan masjid dengan masyarakat dan masyarakat dengan masjid.

“Apabila kita melalui depan rumah penduduk, mereka turut bersama-sama meraikan sambutan ini dan begitu menghormati institusi masjid.

“Malah, ada juga penduduk kampung yang turut memberikan air dan makanan kepada peserta perarakan bagi menunjukkan semangat perpaduan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

IMG_20221009_130521_625
ANTARA peserta yang menyertai perarakan Maulidur Rasul Masjid Al Falihin Kampung Alai.

Menurut Akramuddin, melihat kepada kemeriahan sambutan tahun ini, pihak jawatankuasa masjid bercadang untuk menjadikan acara ini sebagai acara tahunan.

“Ini bagi menjadikan masjid sebagai tempat yang menyatukan masyarakat tanpa mengira apa jua fahaman politik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7804
Kongsi :
Previous post ‘Bajet 2023 bukan untuk orang kaya’
Next post Melaka rai bayi Qurratu A’yun, peringati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW
Ubah saiz-+=