Karavan Park, ‘glamping’ produk pelancongan baharu di Sungai Linggi

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER LIMAU 5 September – Karavan Park dan tarikan ‘glamping’ menjadi antara produk baharu ekopelancongan Sungai Linggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tarikan produk pelancongan baharu di kawasan utara Melaka itu akan diperkenalkan di dua lokasi iaitu di Taman Eko-Rimba, Hutan Paya Laut Tinggi, Kuala Linggi dan di Pusat Eko Pelancongan Paya Lebar.

Katanya, kawasan Taman Eko-Rimba dan Hutan Paya Laut Tinggi, Kuala Linggi agak terbiar sekian lama dan Kerajaan Negeri akan memastikan kawasan itu dibaik pulih sebagai salah satu pusat ekopelancongan di Kuala Linggi.

“Kita cadangkan kawasan ini akan dijadikan sebagai tarikan Karavan Park untuk peminat aktviti luar yang boleh menggunakan kawasan itu sebagai daya tarikan pelancongan di kawasan utara Melaka.

“Kawasan ini merupakan kawasan yang cukup strategik untuk dibangunkan sebagai pusat eko pelancongan pada masa akan datang namun Kerajaan Negeri akan mencari jalan supaya ia akan dibuka semula kepada orang ramai kerana isu air pasang besar telah membuatkan struktur bangunan di kawasan ini rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program Lawatan Kerja Ketua Menteri dan Exco Kerajaan Negeri Melaka Ke Eko Pelancongan Sungai Linggi di Pusat Eko Pelancongan Paya Lebar, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Tpr Saifuddin Abdul Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM), Datuk Tpr Murad Husin serta tetamu lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata tarikan Karavan Park dan glamping turut akan dibangunkan di Pusat Eko Pelancongan Paya Lebar sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Kita minta MPAG untuk sediakan perkhidmatan ini agar kemudahan yang disediakan buat pelancong mampu dimanfaatkan buat mereka yang meminati aktviti luar dan memancing.

“Malah pelancong yang datang juga akan didedahkan dengan aktiviti dan suasana kehidupan masyarakat kampung serta dari segi juadah tradisionalnya, ini juga akan membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di sekitar kawasan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1154
Kongsi :
Previous post Ekopelancongan Sungai Linggi fokus utama pelancongan utara Melaka
Next post Tiga cedera terkena tembakan dalam bank
Ubah saiz-+=