Ekopelancongan Sungai Linggi fokus utama pelancongan utara Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER LIMAU 5 September – Kawasan ekopelancongan Sungai Linggi akan terus menjadi fokus utama Kerajaan Negeri sebagai segmen baharu produk pelancongan di utara Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelbagai produk baharu lain akan diperkenalkan sebelum TMM2024, antaranya penyediaan perkhidmatan penginapan karavan dan glamping (glamour camping) yang mampu menjana ekonomi penduduk setempat.

“Persediaan prasarana ini akan dipertingkatkan lagi kerana kita mahukan kawasan ini dijadikan sebagai kawasan tumpuan pelancongan dalam segmen baharu di mana ia menjurus kepada pelancongan jenis ‘outdoor’ yang mampu menarik peminat peminat kaki pancing untuk datang sebagai daya tarikan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Lawatan Kerja Ketua Menteri dan Exco Kerajaan Negeri Melaka Ke Eko Pelancongan Sungai Linggi di Pusat Eko Pelancongan Paya Lebar, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Tpr Saifuddin Abdul Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM), Datuk Tpr Murad Husin serta tetamu lain.

Justeru, Ab Rauf berkata, bagi memastikan ekopelancongan di kawasan itu ditambah baik, Kerajaan Negeri akan memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Katanya, permohonan itu dilaksanakan bagi meningkatkan lagi kualiti produk pelancongan membabitkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau dan Kuala Linggi.

Menurut beliau, penambahbaikan yang akan dilaksanakan itu sekali gus mampu memperkasa sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Kita akan memohon peruntukan ini untuk mempertingkatkan lagi kualiti prasarana di kawasan Sungai Linggi antaranya untuk menambah baik kira-kira tiga lagi jeti di sepanjang kawasan eko pelancongan ini.

“Setakat ini terdapat enam jeti telah dinaik taraf dan saya lihat kualiti kemudahan awam yang disediakan ini berada pada taraf yang cukup membanggakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1057
Kongsi :
Previous post YaPIEM peruntuk RM40 juta untuk pembangunan sosioekonomi
Next post Karavan Park, ‘glamping’ produk pelancongan baharu di Sungai Linggi
Ubah saiz-+=