Kastam Melaka tumpas penyeludupan RM6.5 juta

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 10 Mei – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Melaka berjaya menumpaskan beberapa kegiatan penyeludupan membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM6.5 juta dalam tempoh empat bulan.

Pengarah JKDM Melaka Norlela Ismail berkata, kegiatan penyeludupan itu bukan sahaja membabitkan minuman keras dan rokok tetapi juga basikal elektrik serta topi keledar.

Beliau berkata, rampasan terbanyak ialah minuman keras membabitkan 405,600 tin dengan nilai keseluruhan RM3,642,142.95.

“Pada awalnya minuman itu diikrarkan sebagai peralatan perabot di dalam Sistem Manifest Kastam (K6) ketika melalui Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, Johor pada 2 Disember lalu.

“Rampasan kedua pula membabitkan rokok seludup yang berjumlah RM2,137,600 yang dilakukan di Kampung Raja Besut, Terengganu pada 9 Januari lalu,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Melaka, hari ini.

Menurutnya, rampasan ketiga pula ialah 264 unit basikal elektrik di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tasik Utama, Ayer Keroh pada 27 Februari lalu.

“Selain rampasan basikal berjumlah RM742,479.53 pasukan penguatkuasa turut menahan lelaki yang juga pemilik premis berusia 50-an.

“Dagangan yang diimport dari China ini diikrarkan sebagai ‘bicycle parts’ tetapi yang sebenarnya ia adalah basikal elektrik yang siap dipasang,” katanya.

Norlela berkata, bagi rampasan terakhir pula ia membabitkan sitaan 90 unit topi keledar berjumlah RM4,950 di sebuah premis di Taman Merdeka, pada 8 Mac lalu.

Katanya, kesemua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Pihak JKDM menyeru orang ramai untuk bersama-sama membantu kami dalam memerangi jenayah penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat selain JKDM turut memberi jaminam bahawa identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2578
Kongsi :
Previous post Muara sungai cetek resahkan nelayan Klebang
Next post Rakyat Melaka boleh salur aduan, cadangan di SISPAA
Ubah saiz-+=