Muara sungai cetek resahkan nelayan Klebang

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KLEBANG 9 Mei – Kerajaan negeri akan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu muara sungai cetek di Jeti Nelayan Klebang Besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, perjalanan keluar masuk nelayan di kawasan itu terjejas berikutan berlaku mendapan pasir, sekali gus mengganggu aktiviti perikanan di kawasan itu.

Katanya, penambahbaikan dan projek pengorekan perlu dilaksanakan segera berikutan peningkatan nelayan di jeti berkenaan selepas proses pemindahan yang akan dilakukan tidak lama lagi.

“Kita akan mencari jalan penyelesaian ke atas aduan yang diterima dari nelayan-nelayan berkaitan mendapan pasir yang berlaku mengakibatkan muara sungai di kawasan ini cetek dan mendatangkan masalah kepada mereka.

“Malah, ada yang berkongsi mereka terpaksa menunggu di tengah laut lebih tiga jam akibat tersangkut disebabkan air yang cetek menyukarkan perjalanan mereka untuk pulang ke jeti ini.

“Saya akan berbincang bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka bagi mencari penyelesaian segera supaya pengorekan berkala dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Jeti Nelayan Klebang Besar, semalam.

Hadir sama, Pengarah LKIM Melaka, Darleena Baharudin dan Ketua Unit Pantai JPS Melaka, Rohana Osman.

Dalam pada itu, Ban Hong berkata, satu mesyuarat penyelarasan membabitkan LKIM, JPS dan pengurusan nelayan kawasan itu akan diadakan bagi mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk membantu mendalamkan muara terbabit.

Katanya, pengorekan berkala perlu dilaksanakan berperingkat termasuk di Pangkalan Jeti Nelayan Lereh agar masalah mendapan pasir dalam diselesaikan sewajarnya.

“Masalah mendapan ini merupakan masalah yang berpanjangan kerana sebelum ini juga ada projek pengorekan dilaksanakan di kawasan ini tetapi mengikut rekod kali terakhir ia dilakukan ialah pada tahun 2021,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1297
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak enam tahun pandu kereta hingga kemalangan
Next post Kastam Melaka tumpas penyeludupan RM6.5 juta
Ubah saiz-+=