Kanak-kanak enam tahun pandu kereta hingga kemalangan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

ALOR SETAR, 10 Mei – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikesan memandu sebuah kereta sejauh kira-kira 2.5 kilometer sebelum terbabit dalam kemalangan selepas melanggar tiang lampu dalam kejadian di Langkawi, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata bagaimanapun kanak-kanak itu hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian dagu dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Bukit Tangga kira-kira 11 malam itu.

Katanya, kenderaan yang dipandu kanak-kanak terbabit turut dinaiki adik lelakinya berusia tiga tahun yang tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 11.15 malam berhubung kejadian sebuah kereta jenis Toyota Vios terbabas dan melangar tiang lampu di tepi jalan.

“Kereta itu dipandu oleh kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dan dinaiki seorang penumpang yang merupakan adiknya yang berusia tiga tahun. Kanak-kanak berusia enam tahun itu luka di bahagian dagu manakala adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kanak-kanak itu telah memandu kereta berkenaan dari rumah mereka di Kampung Padang Mengkuang tanpa pengetahuan ibu bapanya sebelum kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas ke tepi jalan.

“Ketika di rumah, ibu kanak-kanak tersebut ada bersama dengan anak-anaknya, manakala bapa mereka sedang tidur. Wanita terbabit kemudian telah ke bilik air dan selepas keluar dari bilik air dia mendapati anak-anaknya tiada di dalam rumah,” katanya.

Shariman berkata kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, satu video berdurasi lebih satu minit tular di laman media sosial yang memaparkan sebuah kereta terbabas dan melanggar tiang lampu dan terdapat dua kanak-kanak lelaki di dalam kenderaan berkenaan yang dipercayai dipandu oleh kanak-kanak lelaki berusia enam tahun. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1861
Kongsi :
Previous post Hari Ibu: Yakult himpun ibu-ibu Melaka pupuk kesedaran kesihatan
Next post Muara sungai cetek resahkan nelayan Klebang
Ubah saiz-+=