Kastam rampas 3.96 tan mercun bola, CN4002 bernilai RM130,000

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

PASIR MAS, 14 Jan – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 3,960 kilogram mercun bernilai lebih RM130,000 di sebuah gudang di Kampung Atas Pinggir, Tendong, di sini kelmarin.

Pengarahnya Mohd Nasir Deraman berkata rampasan di sebuah gudang simpanan ayam sejuk beku itu membabitkan 600 guni mercun jenis bola dan 15 kotak mercun jenis CN4002.

Katanya turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an yang disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan mercun terbabit untuk siasatan lanjut.

“Serbuan telah dibuat hasil intipan dan maklumat yang dilakukan oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang. Hasil soal siasat juga mendapati suspek menerima kadar upah bernilai RM500 untuk penyimpanan.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan bekalan mercun yang dirampas ini untuk digunakan sempena Tahun Baharu Cina yang akan datang untuk pasaran ke negeri selatan,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kelantan di Rantau Panjang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nasir berkata hasil siasatan modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk mercun melalui sempadan Malaysia-Thailand dengan menggunakan khidmat penyeludup melalui Sungai Golok secara berperingkat.

“Mercun-mercun yang diseludup ini akan dikumpul dan disembunyikan di suatu tempat bagi memastikan pergerakan mereka selamat sebelum di bawa ke luar Kelantan khususnya ke negeri selatan untuk diedar dalam pasaran,” katanya.

Kata beliau lagi, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Orang ramai juga digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, dan sebagainya selain dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-8855, atau pejabat Kastam terdekat. JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.-BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1061
Kongsi :
Previous post JKMR saran Azam Baki ambil cuti
Next post Dua bangkai penyu ditemukan di pantai Terengganu
Ubah saiz-+=