Kawasan pantai Melaka paling ramai terjebak dadah

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 12 Mac – Kawasan pesisir pantai di Melaka dikesan menjadi antara kawasan berisiko tinggi (KBT) yang paling tinggi direkodkan terlibat dengan penagihan dadah.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Wan Madihi Wan Salleh berkata, daripada 10 KBT yang dikenal pasti di negeri ini, empat daripadanya merupakan kawasan pesisir pantai.

Jelasnya, ia membabitkan kawasan Tanjung Kling dan Pernu di daerah Melaka Tengah, serta Kuala Sungai Baru dan Kuala Linggi di daerah Alor Gajah.

Selain itu, katanya, enam lagi KBT penagihan dadah di negeri ini ialah di Krubong, Peringgit, Malim, Masjid Tanah dan Durian Tunggal.

“Kesemua data ini diperoleh daripada pelbagai agensi termasuklah pihak polis yang telah melakukan tangkapan di kawasan berkenaan.

“Sejak tahun lalu, AADK Melaka telah memulakan program penghijauan KBT penagihan dadah yang mana KBT Krubong menjadi kawasan pertama yang berjaya dihijaukan.

“Pada tahun ini AADK menyasarkan penghijauan di KBT Masjid Tanah dan seterusnya di lokasi-lokasi lain menjelang 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mewakili EXCO Antidadah Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh merasmikan Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) Peringkat Negeri Melaka di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Mengulas mengenai sambutan tersebut, Wan Madihi berkata pelbagai program telah diadakan sepanjang HADK yang disambut pada 19 Feb setiap tahun.

Beliau berkata, antara program yang telah diadakan termasuklah amanat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang disiarkan secara langsung menerusi Melaka Hari Ini, program ‘walkabout’ dan ‘walking message’ di kawasan pantai peranginan yang menjadi lokasi KBT serta program Sembang Santai bersama EXCO Kesihatan dan Antidadah di Leypark Station.

Selain itu, turut diadakan program bual bicara; pameran; pemeriksaan kesihatan; kaunter aduan, bimbingan dan kaunseling serta jualan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1319
Kongsi :
Previous post Perubahan cuaca sebabkan burung hijrah ke Tanjung Tuan merosot
Next post Hampir 3,000 anak muda terlibat dadah di Melaka
Ubah saiz-+=