Hampir 3,000 anak muda terlibat dadah di Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 12 Mac – Belia berusia 19 hingga 39 tahun dikenal pasti menjadi golongan yang tertinggi terlibat dengan penagihan dan pengedaran dadah di Melaka.

EXCO Kesihatan dan Antidadah Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, berdasarkan statistik sehingga Sept 2021, seramai seramai 56.2 peratus atau 2,809 golongan itu dikesan terlibat najis dadah daripada keseluruhan 5,000 orang yang direkodkan.

Lebih menyedihkan ujarnya, gejala penagihan dadah turut dikesan dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah berusia 13 hingga 18 tahun iaitu seramai 50 orang.

Katanya, trend itu cukup membimbangkan memandangkan anak muda merupakan tonggak dan harapan negara pada masa akan datang.

Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka dan agensi terlibat akan melipatgandakan usaha mendekati orang muda bagi menjalankan program-program khusus menerangkan mengenai keburukan dadah.

“Dengan adanya usaha kolaboratif yang digerakkan secara bersepadu oleh semua pihak, insya-Allah, penularan penyalahgunaan dadah dalam komuniti mampu dibendung seterusnya sasaran Dadah Terkawal Tahun 2025 dapat dicapai.

“Saya juga telah menetapkan sasaran kadar pengurangan 30 peratus bilangan penyalahgunadan penagih dadah menjelang tahun 2025 bagi Negeri Melaka.

“Inisiatif ini juga turut melibatkan usaha Penghijauan 10 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) di Melaka bermula tahun 2021 sehingga tahun 2025,” katanya dalam teks ucapan.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Wan Madihi Wan Salleh dalam program Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) Peringkat Negeri Melaka di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

PENGARAH AADK Negeri Melaka, Wan Madihi Wan Salleh membacakan teks ucapan EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri pada majlis sambutan peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka tahun 2022. Foto: MR. Azli

Mengulas lanjut Muhamad Akmal berkata, selain remaja dan belia berusia 13 hingga 39 tahun, golongan kedua tertinggi dikesan terlibat dadah di negeri ini ialah dewasa berusia 40 tahun ke atas iaitu seramai 2,140orang atau 42.8 peratus daripada keseluruhan kes.

Menurutnya, berdasarkan data AADK sehingga Jan tahun ini, pekerja buruh menjadi yang paling ramai terlibat dadah iaitu seramai 500 orang, diikuti 171 pekerja perkhidmatan, 156 peniaga, 135 pekerja binaan dan 134 pekerja kilang.

Turut tersenarai ialah pekerja pengangkutan (107), perikanan (45) dan penganggur (36) dan 27 penjawat awam terlibat dadah di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua ahli masyarakat agar ambil peduli terhadap orang sekeliling bagi membendung gejala penagihan dadah di negeri ini.

Beliau turut meminta anggota masyarakat membuang stigma negatif terhadap penagih dadah serta memberi sokongan kepada mereka yang pernah terjebak untuk kembali pulih.

“Kepada semua yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah, segeralah mendapatkan rawatan dan menjalani pemulihan secara sukarela sama ada di fasiliti yang telah disediakan oleh kerajaan mahupun swasta,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1396
Kongsi :
Previous post Kawasan pantai Melaka paling ramai terjebak dadah
Next post PRN Johor: Ayuh orang muda pilih kerajaan stabil – Abdul Hakim
Ubah saiz-+=