Kayuhan edisi sulung LTdIPT bermula hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

DURIAN TUNGGAL 17 Jun – Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) menjadi tuan rumah bagi penganjuran perlumbaan jelajah berbasikal Le Tour De IPT (LTdIPT) yang bermula hari ini.

Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, LTdIPT disertai 16 pasukan mewakili institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh negara.

Katanya, jelajah berbasikal itu membabitkan 78 atlet dibantu 57 pegawai pengiring akan mengharungi empat peringkat perlumbaan sejauh 332.7 kilometer (km).

“Penganjuran ini bakal menilai kemampuan pelajar IPT di negara dan mencungkil bakat baharu dalam mencari pelapis untuk mewakili skuad kebangsaan pada masa akan datang.

“Edisi pertama ini cuma empat peringkat perlu ditempuhi peserta bagi mendapat tempat jersi iaitu di peringkat pendahulu keseluruhan, Raja Pecut, Raja Bukit dan Pendahulu Bawah 21 tahun.

“Penganjuran sulung ini merupakan transformasi kepada penganjuran Varsity Cycling Challenge (VCC) diperkenalkan pada 2015, bertepatan dengan lonjakan pertama pendidikan tinggi negara untuk menarik, membangun dan mengekalkan bakat berkualiti tinggi dalam bidang sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Memperkenalkan Pasukan dan Perasmian LTdIPT di Kompleks Sukan UTeM, di sini, semalam.

Terdahulu, program yang disempurnakan Canselor UTeM Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin.

Sementara itu, Massila berkata pihaknya berbesar hati kerana diberi kepercayaan sebagai tuan rumah penganjuran sulung LTdIPT.

“Pemilihan UTeM amat bertepatan kerana berbasikal adalah sukan tumpuan kami warga UTeM,” katanya.

Peringkat pertama LTdIPT hari ini membabitkan kayuhan sejauh 96.4 km bermula dari Kolej Komuniti Segamat, Johor tamat di UTeM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1790
Kongsi :
Previous post Pelancongan ‘makan-makan’ tarik pelancong ke Melaka
Next post 450 peserta berentap di Melaka Culinary Challenge 2023
Ubah saiz-+=