Pelancongan ‘makan-makan’ tarik pelancong ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDARAYA MELAKA 16 Jun – Pelancongan makan-makan (Food Tourism) mampu membantu sektor pelancongan Melaka dengan menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke negeri ini.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, melalui subsektor ini ia akan merancakkan lagi kedatangan pelancong apabila mereka ingin merasai pelbagai jenis makanan yang terdapat di negeri ini.

Beliau berkata, subsektor ini juga dilihat menjadi antara penyumbang kepada kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Seperti penganjuran Melaka Culinary Challenge 2023 ini, ia adalah usaha Kerajaan Negeri untuk menjadikan Melaka sebagai platform bagi mengumpul pakar kulinari seluruh dunia untuk berkongsi idea dan kemahiran dalam bidang masakan.

“Yang mana secara tidak langsung ia akan memperkenal dan mempromosi Melaka sebagai destinasi pelancongan makan-makan dengan mengetengahkan makanan tempatan khususnya juadah tradisional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Melaka Culinary Challenge 2023 di sebuah kompleks beli belah di Bandar Melaka, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Sa’ari Basiron dan Pengerusi Persatuan Chef Melaka, Rizwandy Perin.

Menurut Zaidi, memasuki tahun kedua penganjuran, pihaknya berharap Melaka Culinary Challenge dijadikan sebagai acara dwi-tahunan.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka saya yakin program ini dapat menjadi tarikan baharu pelancongan negeri yang sememangnya terkenal dengan keunikan dan kepelbagaian makanan serta tradisi.

“Justeru saya menyarankan agar ia dijadikan acara dwi-tahunan dan dimasukkan dalam acara pelancongan utama Melaka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam membantu mempromosikan TMM2024, sebanyak 84 program dan acara pelancongan sudah diadakan sehingga Mei lalu.

“Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta sudah menganjurkan sejumlah 84 program promosi serta acara pelancongan.

“Penganjuran acara pelancongan ini secara tidak langsung dapa membantu menjayakan misi TMM2024 di samping mempromosikan Melaka ke persada antarabangsa sekali gus merealisasikan sasaran seramai 15 hingga 18 juta pelancong pada tahun hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6860
Kongsi :
Previous post Dua kertas siasatan dibuka berhubung wanita persenda pegawai rendah polis, ugut orang awam
Next post Kayuhan edisi sulung LTdIPT bermula hari ini
Ubah saiz-+=