KDA FC mahu ‘ganyang’ Melaka United untuk kedudukan kedua liga

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

ALOR SETAR 9 Sept – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) beralih tumpuan kepada perlawanan terakhir bertemu Melaka United, Ahad ini bagi menentukan pasukan itu berada di kedudukan kedua Liga Super musim ini.

Ketua Jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak berkata, fokus utamanya kini adalah untuk memantapkan pasukan serta mengembalikan tahap kecergasan pemain selepas mengharungi lapan perlawanan dalam tempoh sebulan.

Aidil Sharin.

 

“Kita akan lihat nanti, apa nak saya katakan ialah kami perlu laksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin dan dapatkan keputusan yang baik.

“Saya berharap pemain dapat bermain dengan cemerlang nanti seperti beraksi di final,” katanya kepada pemberita selepas aksi menentang UiTM FC, di sini malam tadi.

Dalam perlawanan itu, Kedah sekadar mengutip satu mata selepas seri 3-3 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman.

Dalam pada itu, Aidil Sharin mengharapkan peminat Hijau Kuning terus memberikan sokongan kepada pasukan itu agar menjadi pembakar semangat menjelang perlawanan terakhir Liga Super menentang Melaka nanti.

Mengulas perlawanan menentang UiTM malam tadi, Aidil memuji persembahan kesebelasan utamanya yang telah bermain dengan bersungguh-sungguh walaupun dengan ketiadaan dua pemain import, Kpah Sherman dan Rabih Ataya.

“Kami ada banyak peluang, tapi tidak dapat menjaringkan gol, saya menghargai semua pemain termasuk pemain muda yang diberi kepercayaan telah menunjukkan persembahan terbaik dan bagi membantu pasukan,” katanya.

Kedah kini berada di tangga kedua liga dan berkongsi mata dengan perbezaan gol mengatasi pasukan di kedudukan ketiga Penang FC.

Sementara itu, ketua jurulatih UiTM FC Mohd Reduan Abdullah pula melahirkan rasa puas hati dengan persembahan pasukannya yang hampir bejaya menewaskan Kedah di Stadium Darul Aman.

“Walaupun tak dapat mata penuh, mereka telah menunjukkan semangat juang yang tinggi…saya fikir mereka sudah buat satu persembahan yang terbaik malam ini. Lepas ini kami akan fikir apa diperlukan untuk memperbaiki pasukan untuk musim akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1043
Kongsi :
Previous post Separuh populasi keseluruhan rakyat Malaysia lengkap divaksin- JKAV
Next post Kerajaan kaji turunkan harga kit ujian kendiri COVID-19 akhir tahun ini- Tengku Zafrul
Ubah saiz-+=