Kebajikan warga Rembia jadi keutamaan – Fairul Nizam

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

REMBIA 27 April – Kebajikan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia menjadi keutamaan bagi Datuk Fairul Nizam Roslan.

Fairul Nizam yang merupakan Penyelaras Japerun Rembia berkata, pihaknya bersama pemimpin masyarakat telah bergerak aktif dengan menubuhkan pasukan khas (task force) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka sejak November tahun lalu.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, setakat ini pihaknya telah menghantar 200 permohonan bagi membantu golongan memerlukan.

“Bermula 1 November lalu saya diarahkan Kerajaan Negeri untuk menguruskan Japerun Rembia, perkara pertama saya laksanakan adalah penstrukturan semula Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Saya turun padang bagi program Ziarah Kasih dan apa yang saya lihat ramai pemohon yang sepatutnya layak menerima bantuan kebajikan tetapi tidak dapat.

“Alhamdulillah setelah kita buat ‘task force bersama JKM, kita berjaya menghantar sekurang-kurangnya 200 permohonan bantuan kebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia di Japerun Rembia, di sini, malam tadi.

Sambutan yang dihadiri lebih 5,000 tetamu itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Seri Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Dalam pada itu, Fairul Nizam berkata pihaknya bersama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bakal membaik pulih rumah penduduk yang usang di kawasan berkenaan.

“Kita sudah membuat permohonan sejak November lalu melalui MPAG dan telah lulus sebanyak 13 unit rumah yang akan dibaik pulih pada tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

374
Kongsi :
Previous post SKM sasar semua masjid di Melaka tubuh koperasi
Next post Kelindan lori maut dalam nahas di Kilometer 195.3
Ubah saiz-+=