Kebenaran rentas negeri pasangan jarak jauh ditangguh dua minggu mulai 1 Jun

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

PUTRAJAYA 30 Mei – Kebenaran merentas negeri dan daerah bagi pasangan jarak jauh (PJJ) ditangguhkan sepanjang tempoh 14 hari Sekatan Pergerakan Penuh mulai 1 Jun ini bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata sepanjang tempoh tersebut semua pihak termasuk golongan PJJ diminta bersabar dan berkorban demi memastikan kejayaan melandaikan lengkuk kes baharu COVID-19.

“Apa yang perlu hari ini semua rakyat perlu berkorban, ada yang terpaksa menutup perniagaan sementara waktu, ada yang terpaksa menutup kilang mereka sementara waktu untuk dua minggu ini.

“Jadi untuk PJJ juga perlu berkorban untuk dua minggu ini, dan kita telah buat keputusan untuk tidak benarkan golongan PJJ merentas negeri atau daerah,” katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh di sini hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang membentangkan laporan mengenai situasi COVID-19 dalam negara.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata pergerakan rentas negeri membabitkan kes kecemasan seperti kematian serta ahli keluarga sakit, nazak dan sebagainya dibenarkan dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Setakat ini, hanya PDRM sahaja yang boleh mengeluarkan surat kebenaran rentas negeri atau daerah bagi tujuan kecemasan seperti kematian dan keluarga nazak,” katanya.

Berikutan itu, beliau memohon kerjasama semua pihak untuk bersikap jujur ketika memohon kebenaran di balai polis bagi tujuan merentas negeri atau daerah memandangkan perbuatan memalsukan permohonan dan memberi alasan tidak munasabah boleh memberi kesan kepada mereka yang benar-benar perlu melakukan pergerakan tersebut.

“Saya difahamkan banyak kes yang polis terpaksa tolak kerana meragukan namun terdapat juga kes benar-benar tulen seperti mahu melawat ibu mereka yang sakit teruk. Jadi polis perlu berhati-hati dalam meluluskan permohonan kerana ada banyak permohonan palsu.

”Saya harap kita perlu benar-benar jujur kepada pihak polis ketika membuat permohonan. Kita mungkin boleh tipu polis namun kita tidak boleh tipu COVID-19 yang ada di mana-mana sahaja,” katanya.

Ismail Sabri juga berkata wakil rakyat seperti Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dibenarkan bertugas serta berbakti kepada masyarakat di kawasan masing-masing dalam tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh, namun mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita tahu tugas wakil rakyat sama ada ADUN atau ahli Parlimen untuk jaga kepentingan rakyat, contohnya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, ada wakil rakyat yang ingin hantar bakul makanan kepada rakyat di Parlimen mereka.

“Dalam PKP 1.0, kita benarkan pergerakan wakil rakyat, ia sama juga dalam PKP 3.0 kali ini termasuklah SOP yang perlu dipatuhi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

367
Kongsi :
Previous post Hanya dua wakil isi rumah boleh keluar, tak lebih 10 km dari kediaman
Next post Kan dah kena! Polis cekup dua lelaki disyaki palsu borang rentas negeri
Ubah saiz-+=