Kan dah kena! Polis cekup dua lelaki disyaki palsu borang rentas negeri

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

KUANTAN 30 Mei – Polis menahan dua lelaki dalam sekatan jalan raya (SJR) berhampiran Plaza Tol Bentong semalam selepas mereka dipercayai memalsukan borang rentas negeri untuk ke Kelantan.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kedua-dua lelaki berumur 25 dan 34 tahun itu ditahan pada 6.30 petang selepas anggota polis meragui nombor siri pada borang yang dikemukakan mereka.

“Anggota bertugas juga meragui kesahihan cap dan tandatangan ketua balai yang didakwa meluluskan borang itu menyebabkan pegawai polis di lokasi menghubungi balai polis terlibat.

“Semakan mengesahkan nombor siri itu tidak wujud selain polis di balai berkenaan tidak pernah menerima permohonan daripada kedua-dua lelaki tersebut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar. Foto Facebook IPD Bentong.

Beliau berkata kedua-dua lelaki kini disiasat mengikut Seksyen 22(D) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Pemeriksaan lebih ketat akan terus dilakukan di sempadan daerah ini sama ada dari Selangor atau Negeri Sembilan bagi memastikan penularan wabak COVID-19 di Pahang dapat dikawal,” katanya sambil menambah setakat semalam, tujuh individu telah ditahan di SJR Bentong bagi membantu siasatan memalsukan borang rentas negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1114
Kongsi :
Previous post Kebenaran rentas negeri pasangan jarak jauh ditangguh dua minggu mulai 1 Jun
Next post COVID: KKM terus jalankan lebih banyak ujian di lapangan
Ubah saiz-+=