Kebocoran data penumpang AirAsia: Siasatan awal dapati berlaku serangan siber – Fahmi Fadzil

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Siasatan awal berhubung insiden ketirisan data peribadi lima juta penumpang dan kakitangan AirAsia mendapati, berlakunya serangan siber ke atas sistem pelayan AirAsia pada 12 Nov lepas yang berpunca dari akses tanpa kebenaran, mengakibatkan serangan perisian tebusan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata serangan siber itu berpotensi menyebabkan kebocoran data, dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca pencerobohan serta impak keseluruhan insiden yang berlaku.

“Pasukan Penyiasatan Kementerian Komunikasi dan Digital yang terdiri daripada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan CyberSecurity Malaysia (CSM), telah memulakan siasatan dengan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Capital A, yang merupakan syarikat induk kepada AirAsia pada 1 Dis 2022.

“Susulan daripada perbincangan tersebut, Capital A telah diarahkan untuk mengemukakan dokumen keterangan berserta bukti data berkomputer yang berkaitan, dengan siasatan kes ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata perincian berhubung kes tidak dapat didedahkan kepada umum ketika ini sementara siasatan masih dijalankan bagi mengelakkan implikasi perundangan serta mengganggu siasatan.

Fahmi menegaskan Kementerian Komunikasi dan Digital mengambil serius dakwaan berhubung insiden ketirisan data peribadi, akibat digodam oleh kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Daixin.

Beliau turut menggesa semua pengguna data sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa, dengan memastikan infrastruktur sistem, pangkalan data serta rangkaian dikemas kini dan selamat.

“Selain daripada itu, pengguna data hendaklah menggariskan polisi keselamatan siber dan memastikan polisi tersebut dipatuhi sebagai langkah bagi mengelakkan pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pada bulan lepas, media tempatan melaporkan data peribadi penumpang dan pekerja syarikat penerbangan tambang rendah itu didakwa mengalami kebocoran selepas digodam kumpulan penggodam dikenali sebagai Daixin.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4415
Kongsi :
Previous post Wujudkan pelancongan kulinari ‘Tukar-Tukar Rasa’
Next post Tengku Zafrul dahului 104 penerima darjah kebesaran, pingat Negeri Selangor
Ubah saiz-+=