Kecemerlangan MPHTJ raih anugerah mampu tarik pelabur ke Ayer Keroh

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 10 Disember – Anugerah Bandar Mampan dan Anugerah Berdaya Huni Tahap Tertinggi diraih Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPTHJ) mampu meningkatkan keyakinan pelabur luar untuk terus berapak di Negeri Melaka.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman amat berbesar hati dengan pengiktirafan itu yang diberikan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Lebih 30 kriteria ditetapkan dan MHPTJ berjaya meraih skor lebih daripada 90 peratus bagi meraih dua anugerah berkenaan. Saya mewakili warga kerja MPHTJ berasa bangga kerana kami menjadi antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpilih untuk menerima anugerah ini.

“Bukan sekadar anugerah untuk dibanggakan kerana bagi tempoh jangka panjang pengiktirafan ini memberi kesan positif dalam kemasukan lebih ramai pelancong dan pelabur khususnya ke Ayer Keroh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perasmian Program Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Melaka di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali itu turut dihadiri Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan.

MPHTJ berjaya meraih tempat ketiga bagi kategori Anugerah Bandar Mampan yang berlangsung di Putrajaya, 8 November lalu, manakala bagi Anugerah Bandar Berdaya Huni Tahap Tertinggi yang diadakan di daerah sama diraih pada 18 Ogos lalu.

Shadan berkata, hasil daripada kajian dan anugerah berkenaan pihaknya giat menjalankan pembangunan di Ayer Keroh bagi menggalakkan kedatangan pelancong ke kawasan itu.

“Sekarang Ayer Keroh menjadi persinggahan pelancong dan dalam keadaan sekarang ini, kami sedang menaik taraf Dataran Sejarah termasuk terowong dengan menjadikan kawasan itu sebagai lokasi ‘insta worthy’ yang dilengkapi dengan sistem lampu LED (diod pemancar cahaya).

“Projek pencahayaan itu menelan kos lebih kurang RM350,000 dan dijangka siap sebelum penghujung bulan ini kerana kita akan mengadakan program berselawat serta meraikan ulang tahun MPHTJ pada 30 Disember,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1995
Kongsi :
Previous post Senarai penuh anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan
Next post Wujudkan pelancongan kulinari ‘Tukar-Tukar Rasa’
Ubah saiz-+=