‘Kecewa, tapi akur larangan guna frasa Bufet Ramadan’

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 5 April – “Nak kata tak kecewa itu tipulah. Sudah tentu kami kecewa, tetapi kami akur”.

Demikian luahan Pengurus Besar Hotel MITC Sazali Sabri berhubung larangan penggunaan istilah dan frasa Bufet Ramadan dan Jom Iftar dalam pengiklanan mereka sepanjang Ramadan.

Ia selepas hotel berkenaan menjadi antara puluhan hotel di negeri ini yang yang masih belum menerima Sijil Pengesahan Halal (SPH).

Beliau menjelaskan, permohonan untuk mendapatkan SPH itu sudah lama dilakukan, namun atas beberapa sebab tertentu ia mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

Justeru, beliau yang juga wakil Persatuan Hotel Bajet Melaka (MyBHA) meluahkan rasa kecewa apabila menerima tekanan saat akhir oleh agensi tertentu berhubung penggunaan frasa berkenaan sedangkan pakej bufet Ramadan hotel berkenaan sudah dipromosikan lebih awal iaitu sejak Jan lalu.

“Kita hairan kenapa arahan dikeluarkan terlampau singkat, dua hari sebelum Ramadan dikeluarkan sedangkan ramai ahli-ahli persatuan kita sudah mula buat promosi dan menguar-uarkan promosi-promosi berbuka puasa ini pada Jan dan Feb lalu.

“Malah ada yang sudah jual early bird voucher dan sebagainya dan tiba-tiba bila dua hari sebelum Ramadan dia cakap tak boleh pakai, jadi kelam kabutlah sikit untuk kita tukar.

“Jadi mahu atau tidak kita terpaksa akur dan tidak lagi pakai (frasa itu), kita perkenalkan pakej kita sebagai Hidangan Makan Malam Hidangan Mengukir Senyuman sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam dan Berbuka Puasa di Hotel MITC, malam tadi.

Menurut Sazali, menerusi pakej itu Hotel MITC menawarkan pelbagai juadah menarik dengan harga yang berpatutan.

Malah, katanya, pakej tahun ini turut menampilkan kelainan dengan memperkenalkan semi bufet iaitu gabungan makanan berhidang dan bufet pada harga RM128 untuk dua orang.

“Kalau ikutkan harga kita satu set RM128 itu sama sahaja dengan harga untuk tahun lepas. Kalau dibahagikan kepada dua ia hanya RM64.

“Kita tak naikkan harga tahun ini dan kita menyahut saranan kerajaan negeri untuk tidak menaikkan harga.

“Antara menu ‘signature’ di sinu ialah kari kepala ikan, asam pedas kepala ikan dan daging salai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1470
Kongsi :
Previous post Pelitup muka bukan perubatan perlu dapatkan perakuan Sirim mulai 4 Julai
Next post Agih beras kepada penduduk kurang mampu
Ubah saiz-+=