Kedutaan AS adakan Majlis Keberangkatan Maya buat dua kadet Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR 9 Jun – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia hari ini mengadakan majlis keberangkatan secara maya sebagai tanda penerimaan masuk kadet dari Malaysia yang dipilih melanjutkan pelajaran di dua akademi tentera berprestij di negara itu pada tahun ini.

Duta Besar AS ke Malaysia Brian D. McFeeters berkata kedua-dua kadet, Mohamad Khairel Adha Mohd Khairee dan Nicholas Ong Yong Xen dipilih menerusi proses pemilihan yang ketat bagi menilai potensi kepimpinan, kecergasan fizikal dan pencapaian akademik mereka.

Nicholas diterima ke Akademi Tentera Laut AS (USNA) di Annapolis, Maryland untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Operasi Siber, sementara Mohamad Khairel Adha akan mengikuti pengajian di Akademi Tentera Udara AS (USAFA) di Colorado Springs, Colorado dalam bidang Kejuruteraan aeronautik, masing-masing bagi tempoh empat tahun.

“Rakyat Malaysia yang melanjutkan pengajian di akademi-akademi perkhidmatan tentera AS menjadi seumpama duta besar Malaysia ke AS dan menjalin hubungan sepanjang hayat dengan anggota perkhidmatan dan warga AS.

“Ikatan yang terjalin ini akan terus mengeratkan hubungan kita. Kadet Nicholas dan Mohamad Khairel bersama-sama dengan barisan rakyat Malaysia yang mengagumkan hari ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia Lt Jeneral Datuk Hashim Aman Shah dan Ketua Pejabat Kerjasama Pertahanan di Kedutaan AS di Kuala Lumpur Leftenan Kolonel Lemar Farhad.

Sehingga kini, seramai 34 rakyat Malaysia telah menamatkan pengajian daripada empat akademi perkhidmatan AS dengan kadet pertama menyertai Kelas Akademi Tentera Laut AS pada 1971, 13 kadet menamatkan pengajian mereka di USNA, empat di USAFA, 12 di West Point dan lima di Akademi Pengawal Pantai AS.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

428
Kongsi :
Previous post ‘Phua Chu Kang’ ikrar jadi pemandu dan penunggang lebih berhemah
Next post PGA rampas syabu, pil kuda bernilai RM8.6 juta di Pasir Mas
Ubah saiz-+=