Kejayaan PRN Melaka, tanda sokongan rakyat kembali kepada BN, UMNO – Mahdzir

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SHAH ALAM 22 Nov – Kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekali gus dapat membentuk kerajaan menunjukkan sokongan rakyat kembali kepada parti itu, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Terima kasih orang Melaka yang telah memberikan sokongan kepada BN, nampak satu tanda dinamik dalam politik selepas empat tahun, sokongan rakyat telah kembali kepada UMNO dan BN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Simulasi Penerbangan, Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dan Siri Pertama Bicara Menteri dekat Subang, hari ini.

Keputusan PRN Melaka menyaksikan BN terdiri daripada gabungan UMNO, MCA dan MIC memperoleh 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Ditanya cadangan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan supaya mempertimbangkan untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan kemenangan selesa BN di PRN Melaka, Mahdzir berkata perkara itu akan dibincangkan bersama kepimpinan tertinggi parti dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata UniKL MIAT yang beroperasi sejak 2015 kini dilengkapi peralatan avionik dengan piawaian pesawat sebenar iaitu Pusat Simulasi Penerbangan bagi Program Latihan Penarafan (Aircraft Type Rating) untuk pesawat Boeing 737-800.

Beliau berkata simulator B737-800 bernilai RM2.9 juta itu juga adalah satu-satunya simulator beroperasi di Malaysia selain yang terdapat di Malaysia Airlines.

“Dengan adanya simulasi penerbangan ini, pelajar akan didedahkan dengan kejuruteraan teknologi simulasi penyelenggaraan dan penerbangan terkini selain diajar asas penerbangan dan seterusnya dapat menerbangkan pesawat dengan baik,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

758
Kongsi :
Previous post Najib bidas Kadir Jasin hina pengundi Melaka
Next post PRN Melaka – 4 faktor utama pengundi beralih angin – BH
Ubah saiz-+=