PRN Melaka – 4 faktor utama pengundi beralih angin – BH

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

MELAKA 22 Nov – Modal kempen, peratusan keluar mengundi, logo parti dan penolakan ‘katak politik’ antara faktor menyumbang kepada perubahan angin sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menurut Berita Harian.

BH memetik penganalisis politik Ibrahim Suffian sebagai berkata analisa awal terhadap keputusan PRN itu menunjukkan pengundi menolak calon yang dilabel ‘katak politik.’

Katanya, langkah PKR meletakkan calon yang terdiri daripada bekas ahli UMNO untuk bertanding juga antara penyumbang kepada pengundi beralih sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata BN juga berjaya menarik balik sokongan pengundi Melayu yang mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Dan keadaan itu berpunca daripada beberapa faktor, termasuk pemilihan logo meskipun ia berkemungkinan hanya menyumbang sekitar satu hingga dua peratus undi.

“Kadar peratusan keluar mengundi rendah dan penggunaan bahan kempen, dengan lebih berat kepada isu nasional seperti peruntukan RM100 juta untuk kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga terbukti gagal mempengaruhi sokongan pengundi di Melaka,” katanya.

Ibrahim berkata analisis itu menunjukkan isu yang dijadikan modal kempen tidak memenangi hati pengundi, berbanding isu tempatan malah berkemungkinan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat turut menyumbang kepada peralihan sokongan.

“Kalau dulu, pembangkang lebih selesa berkempen menerusi acara besar seperti ceramah dan ‘walkabout’ (turun padang) tetapi di Melaka, semuanya berlaku di alam siber,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

644
Kongsi :
Previous post Kejayaan PRN Melaka, tanda sokongan rakyat kembali kepada BN, UMNO – Mahdzir
Next post PRN Melaka penanda aras BN terus langkah pembaharuan – Zahid
Ubah saiz-+=