Kelangsungan industri kreatif keutamaan KKMM

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR 9 Sept – Pembukaan semula lapan aktiviti industri kreatif mulai hari ini bagi fasa peralihan daripada pandemik ke endemik adalah satu keperluan yang akan memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat sektor industri itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa berkata, ia berikutan sektor kreatif adalah antara yang amat terkesan apabila tidak dapat berfungsi langsung semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, selain rakyat juga memerlukan hiburan sihat supaya tidak terus berada dalam kemurungan.

“Ini adalah antara sektor ekonomi yang terawal ditutup, namun antara yang terakhir dibuka semula.

“Namun, dengan pengumuman ini, diharap sektor hiburan ini dapat bernafas semula dan semua pihak berkepentingan (dalam) sektor ini dapat menjana semula ekonomi sektor kreatif dalam norma baharu.

“Meskipun ada perbatasan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi, ia tidak perlu menjadi kekangan untuk sektor ini berkembang dengan lebih maju dengan cara yang lebih kreatif,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tan Sri Annuar Musa. Foto FB Bernama TV.

Beliau berkata sepanjang pandemik, pekerja sektor kreatif yang kebanyakannya bekerja secara kontrak atau ‘freelance’ didapati amat terkesan kerana ‘nature of the job’ mereka adalah bukan makan gaji sekali gus ramai penggiat industri itu menjadi asnaf dan terpaksa membuat (pekerjaan) apa sahaja demi sesuap nasi.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran SOP Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sehubungan itu, Annuar berkata kelonggaran itu merupakan refleksi sebenar keprihatinan kerajaan melalui PPN dalam memastikan kelangsungan dan kelestarian rakyat sejajar dengan norma baharu, terutama di Lembah Klang yang sudah mencapai lebih 80 peratus populasi dewasa yang sudah mempunyai vaksinasi lengkap.

Katanya, pencapaian itu membolehkan sektor industri kreatif dibuka dan seterusnya memberi peluang kepada penggiat industri untuk kembali aktif berkarya, namun berharap kelonggaran itu dapat digunakan dengan sebaik mungkin.

“Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan dan kelangsungan sektor industri kreatif menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif penting antaranya ialah Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA), Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang bertujuan untuk memberi suntikan dan nilai tambah susulan pembukaan semula operasi sektor pada Fasa Satu PPN ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penggiat industri kreatif untuk terus mematuhi semua garis panduan dan SOP yang telah digariskan oleh MKN.

Maklumat lanjut berkaitan SOP di semua fasa boleh didapati dengan melayari laman web www.kkmm.gov.my.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

398
Kongsi :
Previous post Arwah pernah luah hasrat ingin pulang ke kampung jaga ayah – Kakak
Next post Waspada broker haram bertopengkan teknologi, inovasi
Ubah saiz-+=