Keldai akaun meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR 16 Julai- Jenayah keldai akaun di negeri ini meningkat apabila merekodkan sebanyak 501 kes sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, meskipun meningkat sebanyak 13.09 peratus dengan 58 kes berbanding tempoh sama tahun lalu namun ia tetap dianggap serius.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 339 tangkapan dilakukan membabitkan modus operandi pembelian dalam talian, pelaburan, pinjaman tidak wujud, serta African Scam dan Macau Scam.

“Daripada keseluruhan jumlah kes jumlah kerugian direkodkan sebanyak kira-kira RM12.306 juta, meningkat lebih RM2 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Tawaran kerja tidak wujud mencatatkan peningkatan tertinggi dengan 112 kes dengan nilai kerugian lebih RM1.7 juta berbanding RM64,920 sebelum ini.

“Macau Scam juga meningkat dengan pertambahan 100 kes menjadikan keseluruhan 157 dengan kerugian lebih RM5.3 juta, diikuti penipuan pelaburan sebanyak 107 kes membabitkan kerugian lebih RM2.7 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Walkabout dan beramah mesra dengan pelancong di Bangunan Stadthuys dan Jonker Street, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street, Datuk Gan Tian Loo dan Ketua Pegawai Operasi Mamee-Double Decker (M) Berhad, Datuk Gary Choo Kok Sen.

Menurutnya, walaupun berlaku peningkatan namun beberapa kes merekodkan penurunan iaitu African Scam, Pinjaman Tidak Wujud, pembelian dalam talian dan menyamar rakan pinjam wang.

“Antara punca dikenal pasti berlakunya jenayah ini disebabkan taktik yang digunakan sindiket sentiasa berubah-ubah, kurang pengetahuan membabitkan transaksi kewangan dan desakan hidup.

“Oleh itu kita merancang mengadakan sesi penerangan dan akan turun berjumpa dengan masyarakat termasuk JAPERUN dalam memberi pendedahan agar orang ramai tidak mudah terpedaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

857
Kongsi :
Previous post Tanah terbiar kerajaan untuk aktiviti pertanian – KM
Next post KBS laksana inisiatif baharu bantu turunkan pengangguran belia – Ahmad Faizal
Ubah saiz-+=