Keluar 531 saman, polis Melaka tidak kompromi individu ingkar SOP

Masa Membaca:58 Saat

AYER KEROH 29 Jan – Polis Melaka mengeluarkan 531 kompaun terhadap individu atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak 13 Januari lalu.

Pegawai Turus Ketenteraman Awam Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat berkata, kompaun itu dikeluarkan selepas polis tidak lagi berkompromi dengan mana-mana individu yang ingkar perintah itu sekali gus memberi kesedaran kepada orang ramai supaya mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sepanjang PKP 2.0 dikuatkuasakan hingga semalam, sebanyak 531 kompaun RM1,000 mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Akta 324) dikeluarkan kepada individu ingkar arahan itu.

“Antara kesalahan paling banyak dikenakan kompaun adalah tidak memakai pelitup muka dan keluar dari rumah tanpa alasan munasabah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, sepanjang tempoh sama sebanyak 34,353 permohonan rentas negeri diterima dan 34,323 diberi kelulusan manakala selebihnya ditolak kerana tidak memberikan alasan munasabah.

Katanya, antara alasan yang diterima termasuk atas urusan kerja, mendapatkan rawatan perubatan dan urusan persekolahan.

“Bagi tempoh sama polis memeriksa 410,135 kenderaan di sekatan jalan raya (SJR) dan 863 daripadanya diarah berpatah balik kerana memberikan alasan tidak kukuh untuk rentas daerah dan negeri,” katanya.

Views:

924
Kongsi :
Previous post Dulu niaga guna kereta tolak, kini ‘anak Serani’ miliki kiosk sendiri
Next post Rahimah ‘rindu’ pelancong
Ubah saiz-+=