Keluar KWSP untuk teruskan kelangsungan hidup
AYER KEROH 1 April – “Memang orang cakap kena fikir masa depan kalau nak keluarkan caruman. Tapi bagi saya sekarang amat perlu berbuat demikian untuk teruskan kehidupan termasuk menampung perbelanjaan persekolahan anak.”
Itu luahan seorang ibu, Marina Sahabudin, 39, yang mengambil keputusan untuk mengeluarkan simpanan Kumpulang Wang Simpanan Pekerja (KWSP) demi kelangsungan hidup.
“Sebagai rakyat Malaysia yang terkesan dengan wabak COVID-19 memang wajar untuk buat pengeluaran KWSP sebab sedikit sebanyak boleh membantu kita meneruskan kehidupan masa kini.
“Ketika pandemik harga barang tetap sama tidak turun, jadi apa yang ada sekarang memang bagi saya kena ‘grab’ (ambil) dahulu dan dahulukan apa yang penting.
“Saya akan guna duit ini untuk teruskan kehidupan, zaman ini bila bekerja ada gaji pun pendapatan tetap terjejas, jadi memang membantu pengeluaran ini…Terima kasih kepada Perdana Menteri kita,” katanya yang merupakan pekerja swasta.
Seorang lagi pekerja swasta Muhammad Zulfahmy Lukman, 31, turut mengambil peluang untuk mengeluarkan simpanan KWSP bagi meneruskan kehidupan.
“Syukur sangat-sangat boleh keluar KWSP, saya nak gunakan duit ini untuk perbelanjaan tetap seperti bayar rumah, kereta dan yuran sekolah anak setiap bulan.
“Selebihnya memang saya akan simpan di Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk anak saya serta simpanan keluarga,” katanya.
Manakala bagi Hanaliza Jumingan,37, simpanan KWSP dikeluarkan itu boleh dimanfaatkan untuk perbelanjaan keluarga biarpun tidak banyak yang diperlukan.
“Biarpun bekerja saya ada buat ‘bisnes’ (perniagaan) kecil-kecilan, jadi dengan adanya duit ini dapatlah tampung sedikit kos-kos perniagaan saya.
“Ada lebih saya nak buat ‘invest’ (pelaburan) emas sebagai simpanan masa akan datang, saya memang bersyukur dapat keluar KWSP kali ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.