Keluar wad, masuk lokap

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

ALOR GAJAH 12 Julai – Malang bagi seorang duda yang terbabit kemalangan apabila doktor yang merawatnya di Hospital Alor Gajah menjumpai sejumlah dadah pada badannya sebelum segera menghubungi polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, susulan itu polis menahan lelaki berusia 43 tahun itu sebaik keluar wad hospital berkenaan.

Menurut beliau, kejadian berlaku 9 Julai lalu apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Alor Gajah menerima panggilan daripada doktor yang merawat suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka, Superintenden Zulkiflee Rashid

“Suspek sebelum itu terbabas sendiri ketika menunggang motosikal dipercayai sedang khayal selepas mengambil dadah di Brisu, di sini.

“Ketika dirawat di zon kuning Hospital Alor Gajah, doktor menemukan sejumlah dadah di dalam beg pinggang dipakai suspek dan segera menghubungi polis pada jam 4.30 petang,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini di sini hari ini.

Zulkiflee berkata, hasil pemeriksaan lanjut polis menjumpai 13 paket dadah dipercayai heroin seberat 47.30 gram.

Turut dijumpai ialah lima pek plastik lutsinar disyaki syabu dengan berat 15.35 gram, sembilan biji pil Eramin 5, serta satu alat berupa botol kaca untuk mengisap syabu.

SEJUMLAH dadah yang dipercayai milik suspek

“Kesemua dadah dianggarkan bernilai RM5,000 dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

“Suspek yang mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah tidak bekerja dan direman tujuh hari sehingga 16 Julai ini.

“Duda itu dibawa ke lokap sebaik sahaja selesai menerima rawatan hospital pada hari yang sama,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A (1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1347
Kongsi :
Previous post Hina TMJ, polis tahan pembantu penjual buah
Next post Bayaran GKP 3.0 PEMERKASA tambahan kepada PKS Mikro disalurkan mulai hari ini
Ubah saiz-+=