Hina TMJ, polis tahan pembantu penjual buah

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

BATU PAHAT 12 Julai – Polis menahan seorang lelaki di kediamannya di Ayer Hitam, dekat sini malam tadi, bagi membantu siasatan berhubung isu penghinaan terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pembantu penjual buah berumur 31 tahun itu dipercayai memuat naik sebuah video yang mengandungi kata-kata kesat dan perkataan jelik menerusi akaun instagram @amirul_naito.

Beliau berkata, 10 laporan polis dibuat berhubung video berkenaan, dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

AYOB KHAN menunjukkan telefon bimbit dan wang tunai yang dirampas dalam Op Noda. Foto FB IPK Johor.

“Individu yang ditangkap ini memang ada rekod jenayah di bawah Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan dan telah menjalani hukuman pada tahun 2017, dan mengulanginya pada tahun 2020,” katanya dalam sidang media secara dalam talian di laman Facebook Polis Johor, di sini hari ini.

Baru-baru ini, tular satu video berdurasi 32 saat memaparkan seorang lelaki yang mengeluarkan kata-kata jelik serta bernada marah ke atas Tunku Mahkota Johor.

Sementara itu merujuk kepada satu Op Noda, Ayob berkata Sabtu lepas polis menahan 26 individu yang terdiri daripada sembilan warga tempatan dan 17 warga asing, dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran di bandar raya ini antara pukul 6.30 petang dan 10 malam.

AYOB KHAN menunjukkan gambar suspek yang ditahan dalam Op Noda.

Beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan yang dipercayai mula aktif semenjak Mei lepas, menjadikan rumah persendirian, rumah kedai dan apartmen sebagai tempat menjalankan kegiatan berkenaan, bagi mengaburi pihak berkuasa, apabila hotel tidak dibuka sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kumpulan sindiket ini turut menggunakan aplikasi telefon pintar (MICHAT) sebagai medium iklan promosi dan berhubung dengan pelanggan, antara MICHAT yang dikenal pasti adalah Mei Mei, Tai Guo Cun, Yue Nan Wa dan JB Escort.

“Sembilan warga tempatan direman selama tiga hingga enam hari manakala 17 warga asing yang bertindak sebagai penjaga premis dan pekerja seks ditahan selama 14 hari sehingga 24 Julai depan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 373 Kanun Keseksaan, Sek 372 B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

748
Kongsi :
Previous post Annuar Musa dikompaun RM2,000
Next post Keluar wad, masuk lokap
Ubah saiz-+=