Kembara 300 motosikal sempena Hari Malaysia di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDAR MELAKA 8 September – Sebanyak 300 motosikal akan menyertai konvoi program Kembara Hari Malaysia 2022 pada 16 September ini.

Pengerusi Program Kembara Hari Malaysia 2022 Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kembara sejauh 200 kilometer (km) itu akan melibatkan enam hentian di setiap Parlimen dan membabitkan peserta luar Melaka termasuk Singapura.

Katanya, program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan RTM Melaka dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan swasta itu diadakan bertujuan untuk menambah kemeriahan sambutan Hari Malaysia peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan di Melaka.

“Program kembara itu akan bermula di Sungai Rambai dijangka bermula 8.30 pagi dan berakhir di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Bandar Hilir pada jam 5 petang.

“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memilih Melaka sebagai tuan rumah pertama sambutan Hari Malaysia selepas Sabah dan Sarawak kerana Melaka merupakan titik tolak kecemerlangan sebuah peradaban di nusantara.

“Bila ia kembali semula ke Melaka di mana segala-galanya bermula, ia sekali gus dapat mengorak langkah menjadikan Melaka sebagai sebuah kota tujuan kecemerlangan,” katanya.

Antara lokasi persinggahan konvoi Kembara Hari Malaysia 2022 itu ialah R&R Sungai Rambai Arah Selatan, Perkampungan Hang Tuah Duyong, Dataran Sejarah Ayer Keroh, Masjid Tun Khalil Asahan, Universiti Melaka (Unimel) dan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir.

Untuk rekod, sambutan Hari Malaysia 2022 itu nanti bakal bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama dengan orang ramai digalakkan memakai pakaian era 60-an sebagai simbolik Malaysia terbentuk pada 1963.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4755
Kongsi :
Previous post Penting tangani isu jaminan halal dalam mempromosi industri halal – PM Ismail Sabri
Next post Eksport barangan halal meningkat 19 peratus kepada RM36.60 bilion pada 2021 – Timbalan Menteri
Ubah saiz-+=