Kembara Ramadan PKNM santuni golongan kurang bernasib baik

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

LENDU 1 Mei. – Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) mengambil inisiatif menyantuni golongan kurang bernasib baik melalui penganjuran Kembara Ramadan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNM Datuk Azmi Hussain berkata, program yang julung kali diadakan itu antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersempena ulang tahun Jubli Emas 50 tahun perbadanan itu.

Katanya, melalui kembara disertai lebih 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi itu, pihaknya mengagihkan 1,400 pek makanan dan wang tunai kepada insan terpilih di setiap Parlimen dalam negeri ini sebelum diagihkan kepada kawasan DUN masing-masing.

SULAIMAN bersama sebahagian peserta Konvoi Ramadan PKNM di Kompleks Japerun DUN Lendu. Hadir sama Rahmad (kanan).

“Kita bermula sejak 8.30 pagi tadi di Bukit Katil iaitu di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya dan seterusnya ke Duyong (Parlimen Kota Melaka) dan Klebang (Parlimen Tangga Batu).

“Program kemuncaknya adalah di Kompleks Japerun Lendu yang mewakili Parlimen Masjid Tanah dan Alor Gajah sebelum bergerak ke destinasi terakhir kita iaitu di Jasin.

“Melalui program ini kita menyediakan 50 kit makanan bagi setiap DUN yang mana kita berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka yang dalam kesusahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di menyampaikan sumbangan Kembara Ramadan di Kompleks Japerun Lendu, di sini, hari ini.

Program itu dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang berbesar hati menyempurnakan upacara penyerahan sumbangan kepada penerima terpilih di kawasan itu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman yang turut menyertai konvoi Kembara Ramadan PKNM itu.

Dalam majlis sama, turut diadakan penyerahan replika cek bernilai RM120,000 oleh syarikat Edra Power Holding Sdn Bhd bagi menyokong inisiatif kebajikan yang dijalankan PKNM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

460
Kongsi :
Previous post Cadang wujudkan jalan empat lorong di Masjid Tanah
Next post SMART badan sukarelawan anak Masjid Tanah dilancarkan
Ubah saiz-+=