Sorting by

×

Kemenangan 4-1 Melaka United, bakar semangat untuk terus aksi cemerlang

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MELAKA, 27 Julai – Pemain Melaka United dituntut meneruskan aksi cemerlang pada perlawanan seterusnya selepas mencatatkan kemenangan besar 4-1 membenam Penang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong malam tadi.

Pemangku ketua jurulatih Melaka United Mohd Asri Ninggal berkata pujian seharusnya diberikan kepada para pemainnya yang menunjukkan semangat sebagai sepasukan ketika bertahan dan menyerang selain kekal fokus hingga minit terakhir permainan.

“Walaupun berdepan kekalahan pada aksi suku akhir Piala FA Sabtu lepas dan hanya mempunyai masa rehat tiga hari namun pada malam ini pemain Melaka United telah memberikan segalanya dengan bermain bersungguh-sungguh.

“Kemenangan ini juga dilihat menjadi pembakar semangat kepada kami sebelum bertandang ke tempat lawan pada 31 Julai ini dan bertemu Sabah pastinya bukan mudah kerana kita tahu mereka terlalu kebal di kubu sendiri di Stadium Likas dan ia adalah satu cabaran besar buat kami,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Pada perlawanan itu, skuad Sang Kancil membuka jaringan seawal minit keempat menerusi pemain import Emmanuel Oti disusuli jaringan Adriano Narcizo pada minit ke-36 sebelum masa rehat.

Bersambung babak kedua, Melaka terus rancak menambah jaringan menerusi penyerang import Ifedayo Olusegun pada minit ke-58 dan dua minit kemudian Justin Baas terus menambah koleksi jaringan tuan rumah sebelum Penang FC menjaringkan gol saguhati mereka menerusi Lucas da Silva pada minit ke-86.

Sementara itu, ketua jurulatih Penang FC Zainal Abidin Hassan berkata keputusan itu boleh dikatakan terburuk sepanjang beliau mengambil alih skuad berkenaan selain persembahan pasukannya yang dilihat tidak begitu tersusun.

“Saya tidak mahu memberikan alasan namun kita kena bangkit dan pulih segera, apa lebih penting ialah kita perlu perbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Kemenangan itu membolehkan Melaka United mendaki tangga keenam Liga Super dengan 16 mata daripada 12 perlawanan manakala Penang FC kekal di dasar liga dengan tujuh mata.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1262
Kongsi :
Previous post Klinik Kesihatan Simpang Ampat baharu dibina 2028
Next post Pusat data terbesar dibangunkan di Ayer Keroh
Ubah saiz-+=