Kementerian Kewangan fokus pacu pemulihan kewangan negara – Tengku Zafrul

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Kementerian Kewangan memberi fokus untuk memacu pemulihan kewangan negara agar rakyat dapat kembali hidup dengan selesa melalui beberapa strategi seperti penjanaan pekerjaan baharu, membawa pelaburan serta membantu perniagaan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata strategi untuk memacu pertumbuhan kewangan negara diletakkan melalui dua tunggak utama iaitu JaminKerja dan SemarakNiaga dalam Bajet 2022, selepas negara dilanda pandemik COVID-19.

“Saya berharap kita dapat terus memberi keutamaan yang paling penting kepada pemulihan ekonomi untuk rakyat. Kita berada di atas landasan yang betul di mana aktiviti ekonomi, baik dari perspektif makro, perniagaaan atau individu sedang beransur pulih dengan pantas berdasarkan indikator seperti pasaran kerja dan sebagainya.

“Saya yakin kita dapat pulih mengikut perancangan dan menjana ekonomi sekali gus terus membawa keyakinan kepada pelabur untuk terus datang ke Malaysia,” katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Tengku Zafrul berkata demikian sebagai menjawab kenyataan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai keadaan terkini kewangan negara.

Pada Sabtu, Muhyiddin dilaporkan berkata bahawa kewangan negara tidak “semolek seperti yang digambarkan”” dan berikrar untuk mendedahkan lebih lanjut berhubung perkara itu..

Muhyiddin, yang juga merupakan pengerusi Perikatan Nasional turut memberikan bayangan keadaan perbendaharaan negara yang membimbangkan selepas mengharungi dua krisis ekonomi dan pandemik dengan mengatakan bahawa ia adalah “cabaran terbesar”.

Tengku Zafrul berkata kenyataan yang dibuat itu adalah merujuk kepada sebuah laporan yang beliau sampaikan kepada Muhyiddin.

“Ia adalah sebuah laporan yang diberikan kepada sekretariat Majlis Pemulihan Negara (MPN), seperti mana laporan lain yang diberikan rakan kabinet saya tidak kira dari mana-mana parti.

“Sebagai Pengerusi MPN, beliau memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu perdana menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca-COVID19,” kata Tengku Zafrul.

Beliau menegaskan fakta ekonomi yang ada di dalam laporan tersebut merupakan fakta yang telah di sebut berulang kali kepada kabinet dan orang awam.

“Saya tidak pernah sorok, baik melalui kenyataan media, ulasan saya dalam forum, jawapan parlimen dan laporan agensi seperti Bank Negara Malaysia, Jabatan Statistik dan sebagainya.

“Sebab tu sejak tahun lepas, kita dah cakap mengenai Akta Tanggungjawab Fiskal untuk mengelakkan isu seperti 1MDB, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd dan sebagainya daripada berlaku lagi,” tambahnya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

566
Kongsi :
Previous post Kelayakan Piala Asia 2023: 50 peratus atau 20,000 penyokong dibenarkan masuk stadium
Next post Tujuh lelaki ditahan menerusi Op Samseng Jalanan, Op Mabuk
Ubah saiz-+=