Kempen semarak Bulan Kebangsaan di Melaka bermula

Masa Membaca:57 Saat

DURIAN DAUN 2 Ogos – Jabatan Penerangan Negeri Melaka akan mengadakan pelbagai aktiviti bagi menyemarak sambutan Bulan Kebangsaan, bermula 1 Ogos.

Pengarah Penerangan Negeri Melaka, Shahrom Ravin Daram Abdullah berkata, aktiviti itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara yang mana ia akan diadakan secara berterusan sehingga Hari Malaysia pada 16 September depan.

Katanya lagi, sambutan program yang dirangka itu diharap membantu rakyat berbilang kaum menghayati erti sebenar kemerdekaan yang dikecapi hari ini.

Tambahnya, program berunsur patriotisme juga penting dalam menyemai pembinaan jati diri dalam kalangan anak muda masa kini yang berdepan ancaman ‘penjajahan’ alaf baharu.

“Kemerdekaan jiwa dan minda dipupuk menerusi pembinaan jati diri berteraskan empat aspek utama iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa.

“Ini penting kerana generasi muda masa kini berdepan dengan ancaman penjajahan era baharu dengan terdedah kepada media sosial.

“Jadi, kita berharap gunakan media sosial secara berhemah dan jangan sesekali menyebarkan maklumat tidak sahih atau palsu di media sosial tanpa sebarang rujukan daripada pihak yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, Peringkat Kolej Tingkatan Enam (KTE) Tun Fatimah, semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1159
Kongsi :
Previous post Muhammad Azeem cipta rekod baharu 100m kebangsaan di Colombia
Next post Jual minyak pelincir palsu, peniaga didenda RM52,920
Ubah saiz-+=