Muhammad Azeem cipta rekod baharu 100m kebangsaan di Colombia
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Atlet pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi memecahkan rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Stadium Olimpik Pascual Guerrero di Cali, Colombia, awal pagi tadi waktu Malaysia.
Pelari berusia 18 tahun itu memadam rekod lama 10.18s yang dicipta bekas jaguh pecut Asia Tenggara Khairul Hafiz Jantan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Kuching, Sarawak.
Catatan 10.09s dilakukan Muhammad Azeem dalam saingan saringan lapan itu menyaksikan beliau muncul pelari pertama melintas garisan penamat dengan mengejutkan atlet Jepun berusia 19 tahun, Hiroki Yanagita di tempat kedua dengan masa 10.24s.
Muhammad Azeem dan Yanagita masing-masing mengesahkan tempat ke separuh akhir yang dijadual berlangsung awal pagi esok.
Pada masa sama, hanya pelari Botswana berusia 19 tahun, Letsile Tebogo yang berlari dalam saringan tiga mencatat masa lebih pantas daripada Muhamamd Azeem selepas memperbaharui rekod kejohanan dengan catatan masa 10s.
Sementara itu, pemenang pingat emas 100m dan 200m Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, Puripol Boonson dari Thailand turut menjuarai saringan enam dengan melakar masa 10.20s untuk mengesahkan tempat di separuh akhir.
Muhammad Azeem sebelum ini turun ke Kejohanan Olahraga Dunia B-20 dengan reputasi sebagai remaja keempat terpantas Asia masing-masing dalam 100m dan 200m berdasarkan catatan masa sehingga Julai lepas.
Berdasarkan catatan masa peribadi terbaik, Yanagita merupakan terpantas dengan catatan 10.16s diikuti Boonson (10.19s), Wang Shuang dari China (10.23s) dan Muhammad Azeem di kedudukan keempat dengan catatan 10.28s yang dicipta pada Kejohanan Olahraga Perak Allcomers di Ipoh, Jun lepas.
Dalam acara 200m, Booson merupakan yang terpantas selepas merakam masa 20.19s, diikuti atlet Korea Selatan, Son Ji-won (20.80s), Yan Haibin dari China (20.88s) dan Muhammad Azeem dengan catatan 20.89s yang dilakukan pada Kejohanan Remaja Sarawak di Kuching, bulan lepas.
Muhammad Azeem turut akan mengambil bahagian dalam 200m di Cali dengan acara itu dijadual bermula 3 Ogos (4 Ogos Malaysia).
Kejayaan Muhammad Azeem itu mendapat reaksi Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
“Pencapaian luar biasa dari bumi Colombia!!!. Teruskan momentum kejayaan ini Azeem,” katanya dalam ciapan di Twitter.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.