Kemudahan awam perlu diselenggara, banjir sudah pulih – KM
AYER KEROH 15 Jan – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengarahkan agensi kerajaan berkaitan memastikan setiap kemudahan awam di negeri ini diselenggara sebaiknya.
Beliau berkata, banjir di Melaka yang berlaku pada penghujung Disember tahun lalu telah pulih dan rakyat yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sudah pulang ke kediaman masing-masing.
Justeru katanya, penyelenggaraan di bangunan kegunaan orang ramai perlu dilaksanakan segera bagi memastikan kemudahan itu bersedia digunakan pada masa akan datang.
“Semua pihak sudah sedia maklum mengenai perkembangan ini.
“Saya mahu mana-mana kemudahan atau struktur awam diperkemas serta dibaik pulih jika ada kerosakan akibat ditimpa musibah banjir baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program penyampaian sumbangan mangsa banjir daripada Persatuan OKU Sentral dengan kerjasama Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB) di Seri Bendahara.
Hadir sama dalam penyerahan itu, Presiden Persatuan OKU Sentral yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Presiden GMB, Agil Faisal Ahmad Fadzil.
Dalam pada itu, Sulaiman berkata, semua 23 pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di negeri ini sudah tutup sepenuhnya.
Katanya, PPS terakhir yang ditutup adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mendapat dekat Merlimau semalam.
Menurutnya, PPS di daerah Jasin agak lewat ditutup berbanding dua daerah lain disebabkan terdapat kawasan di daerah itu dilanda banjir termenung.
“Tiga keluarga terdiri 13 orang yang terakhir berada di PPS SMK Seri Mendapat dan mereka sudah pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
“Sejak (awal) Januari lalu, sebanyak 23 PPS telah dibuka di negeri ini dengan menempatkan 2,744 mangsa banjir daripada 696 keluarga dari daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
Dalam pada itu, Sulaiman berkata, bantuan sumbangan OKU Sentral dan GMB itu akan terus diagihkan terus kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri.
Ujarnya, agihan sumbangan kepada mangsa banjir yang terlibat akan diurus selia oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.