‘KENANGAN MANIS DAPAT MENARI BERSAMA ZIANA ZAIN’

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

TANJUNG BIDARA 15 September – “Macam tidak percaya apabila diberikan peluang ini sebab ini pertama kali melihat Kak Gee di depan mata dan dapat pula menari bersama,” kata seorang peminat penyanyi tersohor tanah air, Ziana Zain.

Bagi Siti Khadijah Abdullah,35, kehadirannya memeriahkan Konsert Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 merupakan kenangan manis baginya kerana semata-mata untuk melihat sendiri persembahan artis pujaannya itu di depan mata.

Dia sanggup menunggang motosikal seorang diri sejauh hampir 40 kilometer dari Telok Mas ke Tanjung Bidara dan sampai di pusat peranginan itu.

“Selepas dapat tahu promosi mengenai konsert ini akan dipersembahkan oleh Kak Gee menerusi platfrom Melaka Hari Ini saya tekad untuk datang ke sini meskipun berbatu-batu jaraknya.

“Selain diberi peluang menari bersamanya di pentas utama saya juga tidak melepaskan peluang berswafoto bersama beliau sewaktu Kak Gee datang ke kerusi penonton ketika menyanyikan lagunya.

“Sambutan kali ini cukup hebat kerana begitu meriah dengan kehadiran orang ramai dan berharap sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) akan dipenuhi dengan aktiviti kesenian seperti ini untuk menarik lebih ramai lagi pengunjung ke Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, persembahan Ziana Zain yang menutup tirai dengan beberapa nyanyian lagunya telah menggamatkan suasana sambutan malah ramai peminat bersorak memecah suasana pada malam itu.

Siti Khadijah merupakan antara empat peminat yang diberi peluang menari bersama-sama di atas pentas ketika penyanyi itu menyanyikan lagu dendangannya iaitu Kalau Mencari Teman.

Selain Ziana Zain, malam itu juga meriah diserikan dengan persembahan artis kelahiran Melaka iaitu Zamani, P Radhi, Yassier Fikri dan artis Briged Seni Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

146
Kongsi :
Previous post 2,000 MERIAHKAN FIT MALAYSIA MELAKA 2024
Next post BELACAN MELAKA PILIHAN ZIANA ZAIN
Ubah saiz-+=