Kenduri Muhibbah jamu 3,000 pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

BANDA HILIR 27 Julai – Orang ramai berpeluang menikmati hidangan makan malam percuma pada penganjuran Kenduri Muhibbah bersempena Perasmian Festival Seni dan Budaya @Jonker Walk, esok.

Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya, Datuk Ronald Gan berkata, Kenduri Muhibbah itu melibatkan semua rumah ibadah sepanjang Jalan Harmoni di Jalan Jonker.

Katanya, makanan yang disediakan mengikut kaum seperti Baba Nyonya, Melayu, India dan Cina itu cukup untuk menampung kedatangan sehingga 3,000 pengunjung.

“Contoh bagi Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi pengunjung boleh nikmati capati dan vadei. Sementara itu nasi lemak dan karipap disediakan di Masjid Kampung Kling, manakala hidangan ‘vegetarian’ di Tokong Cheng Hoon Teng.

“Selain itu 160 masakan peranakan Baba Nyonya akan dihidangkan kepada tetamu khas. Ia berkonsepkan ‘Ala Tok Panjang’ bertempat di hadapan Pentas Opera Tokong Cheng Hoon Teng yang berusia lebih 130 tahun,” katanya pada sidang media di Bangunan Gan Boon Loong di Jalan Jonker, di sini, semalam.

Tambahnya, pada malam acara kemuncak festival itu, pengunjung turut akan dihiburkan dengan persembahan artis terkenal tanah air di pentas utama Jonker Walk.

“Kita turut menjemput artis terkenal peranakan Baba Nyonya, Datuk Andre Goh dan artis terkemuka tanah air seperti Amir Masdi, Dr Soo Wincci, Suki Low dan Vincent Chong.

“Bagi gimik perasmian pula akan dilakukan upacara menyalakan ‘teng’ atau tanglung gergasi oleh kenamaan yang hadir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1443
Kongsi :
Previous post Kilang ayam didakwa punca bau busuk dikompaun
Next post Kompang Cina meriahkan Festival Merakyatkan Seni Budaya @Jonker Walk
Ubah saiz-+=