Keputusan permohonan Najib gantung prosiding kes saman SRC pada 22 Feb

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 22 Feb untuk keputusan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggantung prosiding saman sivil SRC International Sdn Bhd terhadap beliau membabitkan dana US$1.18 bilion.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas perdana menteri itu dan Datuk DP Naban yang mewakili SRC, subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saman itu berhubung dakwaan melakukan pecah amanah jenayah dan melanggar kewajipan statutori berhubung pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)(KWAP) kepada SRC.

Dalam prosiding, Harvinderjit berhujah bahawa anak guamnya mahu saman itu digantung, sehingga selesai sepenuhnya kes jenayah membabitkan RM42 juta dana SRC, yang berada di peringkat akhir di Mahkamah Persekutuan serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana syarikat itu di Mahkamah Tinggi di sini.

Beliau berkata penangguhan prosiding ini sementara menunggu penyelesaian akhir perlu dibenarkan atas alasan untuk mengelak keputusan yang bercanggah apabila persoalan atau isu adalah serupa, serta untuk memastikan tiada gangguan terhadap prosiding jenayah yang belum selesai.

Sementara itu, Naban yang membantah perkara itu berkata berdasarkan kajiannya, tiada kes dilaporkan melibatkan kes jenayah di peringkat rayuan yang belum selesai menyebabkan prosiding sivil ditangguhkan.

“Seperti yang ditegaskan oleh rakan saya, beliau (Najib) telah memberikan keterangan, dia kini berada di Mahkamah Rayuan dan mahu membawa lebih banyak bukti, jadi hak berdiam diri tidak akan terjejas. Justeru, permohonan ini perlu ditolak dengan kos,” katanya.

Pada 7 Mei lepas, SRC di bawah pengurusan baharu telah memulakan tindakan perundangan terhadap Najib dan beberapa bekas pengarahnya iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

Bagaimanapun, syarikat itu kemudiannya menggugurkan enam nama daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan.

Dalam writ samannya, SRC mendakwa Najib telah menyalahgunakan kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana tersebut.

Najib merupakan Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), menuntut ganti rugi am, teladan, tambahan dan faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 7 Dis lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC setelah menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Pada hari yang sama, Najib memfailkan notis untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

955
Kongsi :
Previous post SPRM Melaka tahan bekas pengarah agensi kerajaan disyaki terima rasuah
Next post COVID: Kes dalam kalangan kanak-kanak meningkat 160 peratus
Ubah saiz-+=