(Kemas kini) Keputusan pindahkan guru enggan vaksin kekal – Radzi

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

CHENG 17 Okt. – Kementerian Pendidikan (KPM) kekal dengan keputusan untuk memindahkan mana-mana guru yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata setakat ini seramai 2,000 guru di seluruh negara direkodkan masih enggan mengambil suntikan vaksin berbanding 2,500 guru setakat 5 Oktober lalu.

“Dalam konteks pengajaran di sekolah, ramai ibu bapa yang bertanya (dan) risau tentang guru-guru yang tidak divaksin ini.

“Dan kita telah jelaskan kepada ibu bapa bahawa seperti sebelum ini, ketetapan kementerian adalah guru tidak divaksin ini tidak boleh mengajar secara bersemuka.

“Walaupun jumlah itu kecil tapi kesannya kepada operasi sekolah besar, sebab itu kita kata sekiranya terdapat keperluan untuk memindahkan guru ini kita akan lakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan persiapan pembukaan sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abd Malek, hari ini.

Ujarnya, setakat ini terdapat seramai 415,000 guru yang direkodkan di seluruh negara.

“Biarpun jumlah tidak ambil vaksin ini tidak ramai, namun kesan kepada keseluruhan ekosistem itu cukup besar.

“Sebagai contoh untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK), anak-anak istimewa ini mereka perlu berada rapat dengan guru-guru,” katanya.

Tambahnya, KPM tidak akan berkompromi dengan guru-guru tersebut dan mereka tidak boleh mengajar secara bersemuka.

“Begitu juga kita ada keadaan di mana guru pra sekolah, pembantu murid pra sekolah yang tak nak divaksinkan.

“Ada kata kita mengugut. Ini bukan soal mengugut… ini soal operasi sekolah jadi kita ingin pastikan supaya sekolah dapat operasi dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan menentukan sama ada permohonan guru sekolah yang baharu perlu mengambil suntikan vaksin atau tidak.

“Kita serahkan pengambilan guru baharu kepada pihak SPP, namun begitu jumlah pemohonan untuk jawatan ini cukup ramai.

“Jadi kita boleh pilih cara terbaik yang memenuhi apa sahaja kriteria yang ditetapkan oleh SPP dan kementerian,” katanya lagi.

Hadir sama Exco Belia Negeri, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohidden dan Pengarah Pendidikan Negeri, Mohd Azam Ahmad.

Berita lanjut menyusul..

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

926
Kongsi :
Previous post Pemandu maut, tiga cedera selepas kereta dinaiki terlanggar gajah
Next post (Kemas kini) PRN Melaka tidak jejas operasi sekolah- Radzi
Ubah saiz-+=