Kerajaan akan teliti semula dasar penempatan Bukit Malut

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

LANGKAWI 23 Jun – Dasar berhubung penempatan di Bukit Malut, di sini yang dikaitkan dengan majoriti penduduknya pendatang dari Myanmar akan diteliti semula, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata satu perbincangan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkara itu telah diadakan bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai dasar penempatan sedia ada.

“Kita sedang berbincang dengan MKN tentang polisi penempatan yang sebenarnya kerana di zaman pemerintahan kerajaan sebelum ini sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad mula-mula menjadi Perdana Menteri, lain polisinya; kemudian bila bertukar kerajaan lagi lain polisinya.

“Oleh itu kita perlu mengeluarkan satu polisi yang sebenar untuk memastikan selepas ini tidak ada lagi bertukar-tukar polisi,” katanya pada sidang media di kompleks kementerian itu selepas membuat tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan, di sini.

HAMZAH pada sidang media selepas membuat tinjauan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status perkembangan terkini mengenai penempatan Bukit Malut, di sini.

Mac lalu, kerajaan Kedah menggesa MKN agar segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu penempatan di Bukit Malut, Langkawi yang majoritinya dikaitkan dengan pendatang dari Myanmar.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini memaklumkan isu itu semakin “parah” berikutan bilangan rumah yang dibina di kawasan itu semakin bertambah.

Sementara itu Hamzah berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi menyediakan pelekat yang tertera maklumat mengenai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di seluruh negara.

HAMZAH menunjukkan pelekat yang tertera maklumat mengenai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di seluruh negara.

“Pelekat berkenaan akan ditampal pada bot nelayan untuk mereka mengetahui semua nombor telefon Maritim Malaysia sekiranya mereka berada di tengah laut, dan (apabila) mempunyai masalah atau kecemasan boleh telefon APMM.

Sementara itu Hamzah berkata Jabatan Imigresen menahan 4,877 pendatang tanpa izin pelbagai warganegara di seluruh negara sejak awal tahun hingga 18 Jun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

531
Kongsi :
Previous post Ada nelayan bersekongkol, jadi tali barut bawa masuk pendatang di Langkawi
Next post Perbincangan mekanisme subsidi minyak masak di peringkat akhir- Khairuddin
Ubah saiz-+=